KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengenal pasti lokasi baharu untuk pemindahan sebuah rumah ibadat di Jalan Masjid India, di sini.
DBKL dalam kenyataan memaklumkan, langkah itu bagi memastikan penganut Hindu dapat terus menjalankan aktiviti keagamaan mereka dengan selesa dan harmoni.
“Proses pemindahan akan dilakukan secara telus dan adil serta membabitkan perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya.
“DBKL juga memberi komitmen untuk tidak akan melakukan sebarang aktiviti perobohan struktur kuil di tapak tersebut dan kuil tersebut boleh beroperasi seperti biasa sehingga proses pemindahan selesai,” katanya.
DBKL menghargai kerjasama daripada pelbagai pihak untuk memastikan proses pemindahan berjalan lancar dan menyeru kepada semua pihak untuk terus mengekalkan keharmonian serta menghormati kepelbagaian agama di negara ini.
Dalam pada itu, DBKL berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung cadangan pembinaan sebuah masjid di atas tanah milik sebuah syarikat swasta itu.
Katanya, tanah yang dimiliki syarikat berkenaan menjadi perhatian kerana sebahagian kecil daripadanya menempatkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.
DBKL menjelaskan, projek tersebut merupakan cadangan oleh syarikat swasta selaku pemilik tanah yang sah dan bukan daripada pihak kerajaan.
Bagaimanapun katanya, DBKL selaku pihak yang diamanahkan oleh kerajaan telah mengambil langkah proaktif untuk tampil membantu mencari jalan terbaik buat semua pihak terlibat dan secara tidak langsung mengelakkan diskriminasi terhadap mana-mana kaum.
“DBKL memberi jaminan bahawa setiap langkah yang sedang dan bakal diambil adalah selaras dengan prinsip kebebasan beragama seperti dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman, yang terletak berhampiran Jakel Mall berhampiran Jalan Masjid India, dibina pada akhir abad ke-19 dan kini wujud di antara bangunan pencakar langit di kawasan tersebut.
Difahamkan, tanah yang diduduki kuil itu dijual kepada sebuah syarikat swasta yang turut memiliki sebuah pusat beli-belah di kawasan sama. – MalaysiaGazette