PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai memberikan keterangan selama lebih lima jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang ini berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengannya.
Ahli Parlimen Bera yang sempat membuka tingkap keretanya sebelum beredar dan memberitahu SPRM tidak merakamkan keterangannya esok kerana beliau cuti.
“Saya cuti, cuti esok,” katanya di luar pekarangan Ibu Pejabat SPRM kepada sekumpulan media.
Semalam, Perdana Menteri kesembilan itu telah memberikan keterangan hampir tujuh jam berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia semasa tempoh perkhidmatan beliau dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Ismail Sabri merupakan suspek siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16 kilogram jongkong emas di dalam ‘safe house’.
Kes ini sedang disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Baru-baru ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, beberapa fail baharu dibuka berhubung siasatan terhadap Ismail Sabri susulan maklumat dan hasil risikan terbaharu pihaknya, dan terdapat banyak lagi perkara yang perlu diajukan kepada bekas Perdana Menteri itu.
Semalam, SPRM menahan reman seorang pengurup wang bagi membantu siasatan kes melibatkan Ismail Sabri.
Namun individu telah dilepaskan selepas direman selama dua hari ekoran sakit jantung. -MalaysiaGazette