KUALA LUMPUR – Kumpulan Jakel mengingatkan pihak luar agar tidak mencetuskan isu tidak harmoni antara kaum berhubung penempatan semula Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India yang didirikan di atas tanah milik gedung tekstil itu.
Ketua Pegawai Kewangan Jakel, Datuk Syed Nasrul Fahmi Syed Muhamad berkata, ia kerana syarikat dan pihak kuil telah mengadakan perbincangan secara baik dan harmoni sejak lapan tahun lalu.
Namun jelas beliau, tiba-tiba muncul negatif tidak baik yang menggambarkan seolah-olah kuil itu akan dirobohkan untuk membina sebuah masjid.
“Penyelesaian perlu dibuat dan kami masih lagi dalam perbincangan namun pihak luar cuba menjadikan isu antara kaum di mana Malaysia dikenali rakyat berbilang bangsa.
“Ada naratif tidak baik seperti kenyataan roboh kuil untuk bina masjid sedangkan hubungan syarikat dan pihak sangat harmoni di mana sentiasa mengadakan perbincangan dan pihak kuil tidak pernah beri tekanan,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Bahagian Undang-Undang dan Komunikasi Korporat Jakel, Aiman Dazuki.

Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyatan hari ini memaklumkan telah mengenal pasti lokasi baharu untuk pemindahan sebuah rumah ibadat di Jalan Masjid India di sini.
DBKL dalam kenyataan memaklumkan, langkah itu bagi memastikan penganut Hindu dapat terus menjalankan aktiviti keagamaan mereka dengan selesa dan harmoni.
Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak berhampiran Jakel Mall berhampiran Jalan Masjid India,dibina pada akhir abad ke-19 dan kini wujud di antara bangunan pencakar langit di kawasan tersebut.
Tanah yang diduduki kuil itu dijual kepada Kumpulan Jakel yang turut memiliki sebuah pusat beli-belah di kawasan yang sama.
Mengulas lanjut, Aiman menegaskan, tiada perobohan akan dilakukan terhadap Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman ketika ini sebaliknya perbincangan tertumpu kepada proses pemindahan secara harmoni.
Jelas, sejak tanah tersebut diambil alih daripada DBKL, pelbagai rundingan telah diadakan bersama pentadbiran kuil berkenaan bagi mencari penyelesaian terbaik.
“Perkara ini masih lagi dalam perbincangan, cuma yang saya hendak tegaskan tidak ada terma perobohan.
“Kita faham sensitiviti, kita pun mahu situasi menang-menang, kita ingin menjaga kemaslahatan kedua-dua belah pihak,” katanya.
Mengenai majlis pecah tanah yang dijadualkan pada 27 Mac ini, Jakel menjelaskan, ia bukan bermaksud pembinaan akan dimulakan serta-merta, sebaliknya sekadar simbolik komitmen syarikat terhadap projek tersebut. – MalaysiaGazette