KUANTAN – Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini di atas 22 pertuduhan menerima wang dan meminta rasuah dengan jumlah keseluruhan RM46,700.
Tertuduh, Kamarul Amilin Zainal Arifin, 39, bagaimanapun tidak mengaku bersalah ke atas semua kesalahan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Sazlina Safie.
Mengikut kertas pertuduhan, bagi 10 pertuduhan pertama, dia didakwa secara rasuah memperoleh daripada seorang individu untuk dirinya, suapan berjumlah RM15,800 yang telah dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya antara tahun 2018 sehingga tahun 2022.
Suapan itu adalah sebagai dorongan baginya mendedahkan maklumat tentang operasi serbuan JIM kepada individu terbabit.
Bagi kesalahan berkenaan, Kamarul Amilin didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta sama jika sabit kesalahan.
Bagi 12 pertuduhan berikutnya, dia didakwa dalam tempoh sama menerima wang berjumlah RM31,800 yang dipindahkan secara atas talian kepada akaun bank miliknya dengan tanpa balasan daripada enam individu berbeza yang diketahui mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.
Bagi kesalahan terbabit, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Difahamkan, tertuduh yang merupakan bapa kepada tiga anak itu didakwa meminta dan menerima wang rasuah secara bulanan antara RM900 sehingga RM3,000 daripada pengusaha pusat hiburan, pusat refleksologi, pemilik kebun dan pemilik kilang kayu di sekitar daerah Temerloh, Raub dan Cameron Highlands.
Ia sebagai balasan melindungi pekerja mereka yang tidak memiliki permit yang sah daripada menerima sebarang gangguan oleh pihak JIM.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Kamariah Seman manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Syed Azimal Syed Abu Bakar.
Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dikenakan ke atasnya namun hakim menetapkan sebanyak RM10,000 bagi semua kesalahan dengan syarat seorang penjamin bercagar serta pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 29 April depan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette