Muniandy didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan memandu bawah pengaruh dadah, sehingga menyebabkan kematian.

JOHOR BAHRU – Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan memandu bawah pengaruh dadah, sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak lelaki warga Singapura berumur 7 tahun, dan kecederaan dua individu dalam kemalangan di Permas Jaya, Ahad lalu.

Tertuduh Muniandy @ Ang Ah Leang, 57, mengaku tidak bersalah membuat selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, Muniandy sebagai pemandu lori telah memandu lori itu bawah pengaruh dadah dan gagal mengawal kenderaan tersebut sehingga menyebabkan kematian Mohd Noah Soliqin Mohamad Khairuz.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Pantai di sini pukul 10.10 minit pada 16 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 15 tahun, dan didenda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000, selain lesen memandu diendors oleh mahkamah serta hilang kelayakan mendapatkan lesen memandu tempoh kurang 10 tahun dari tarikh sabitan.

Tertuduh turut berdepan dua pertuduhan memandu kenderaan itu bawah pengaruh dadah dan gagal mengawal kenderaan tersebut sehingga mendatangkan kecederaaan Mohamad Khairuz Bahrawi, 44 dan Lina Yulianti, 38 di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 44 (1A) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tujuh tahun dan tidak lebih 10 tahun dan didenda tidak kurang RM30,000 dan tidak lebih RM50,000, selain lesen memandu diendors oleh mahkamah, serta hilang kelayakan mendapatkan lesen memandu tempoh kurang tujuh tahun dari tarikh sabitan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Tasnam Saleh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh dalam rayuan, memohon hukuman diringankan kerana menanggung isteri yang tidak bekerja dan dua cucu serta mempunyai pendapatan hanya RM2,000 sebulan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan tertuduh, selain syarat tambahan lapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran, larangan mengganggu saksi, pasport diserahkan kepada mahkamah dan lesen memandu digantung sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 23 April sebagai tarikh sebutan semula kes.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here