KOTA TINGGI – Seorang pemuda maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 60 Jalan Johor Bahru-Mersing (kawasan kubu) di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kemalangan pasa pukul 12.45 tengah hari itu melibatkan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dengan lori jenis penggerak utama (sinotruck).
“Akibat kemalangan tersebut, pemandu Toyota Hilux berusia 26 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat manakala pemandu lori berkenaan yang berusia 44 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, kes masih dalam siasatan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan lesen memandu tidak kurang lima tahun.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Penguasa Bomba Kanan I Mohd Rafi Mohd Nor berkata, kemalangan itu menyebabkan pemandu pacuan empat roda tersepit.
Katanya, seramai tujuh anggota dibantu dikejarkan ke tempat kejadian dan mengeluarkan lelaki yang tersepit di tempat duduk pemandu dengan menggunakan peralatan khas dan stretcher.
“Mayat mangsa, Nizam Zainal, kemudian dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk pengesahan kerana pegawai perubatan tidak dapat melepasi kawasan banjir untuk ke lokasi kejadian dengan menggunakan kenderaan FRV Triton BBP Kota Tinggi,” ujarnya.- MalaysiaGazette