JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengambil mudah atau melengahkan pelaksanaan projek tebatan banjir di Johor.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya mengarahkan pihak Jabatan Pengaliran San Saliran (JPS) untuk mempercepatkan pelaksanaan projek itu bagi mengurangkan risiko banjir berulang yang sering melanda negeri ini.
“Saya akan memastikan segala usaha yang dirancang dilaksanakan dengan segera demi kesejahteraan dan keselamatan Bangsa Johor.
“Keadaan banjir di Johor masih membimbangkan. Menurut laporan terkini, seramai 1,015 mangsa daripada 299 keluarga telah dipindahkan ke 11 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah yang terjejas, iaitu Johor Bahru, Kulai, dan Pontian,” katanya dalam Facebook miliknya hari ini.
Menurutnya, beliau berkesempatan turun padang menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mutiara di sini hari ini bersama-sama Pegawai Daerah Johor Bahru dan Datuk Bandar Johor Bahru meninjau keadaan sungai di kawasan terjejas.
“Hujan masih berterusan, waspada dan patuhi arahan pihak berkuasa.
“Saya menyeru seluruh Bangsa Johor agar terus waspada dan mendengar arahan daripada pihak berkuasa, supaya usaha pengurusan banjir di Johor berjalan lancar. Semoga dipermudahkan segala urusan kita semua,” katanya.- MalaysiaGazette