ALOR GAJAHÂ – Akibat leka bermain telefon bimbit, seorang pemilik kedai emas kerugian RM250,000 selepas disamun seorang lelaki menggunakan sepucuk pistol mainan di premisnya di Kuala Sungai Baru, di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 petang itu, mangsa lelaki berusia 49 tahun dan dua anaknya berusia 7 dan 10 tahun bertindak melarikan diri ke dalam pejabat selepas suspek mengacukan pistol mainan ke arahnya.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati mangsa tidak sedar suspek masuk ke dalam kedainya itu kerana sedang leka bermain telefon bimbit.
“Mangsa hanya tersedar apabila suspek mengacukan sepucuk pistol mainan kepadanya menyebabkan mangsa bersama dua anaknya lari masuk ke dalam pejabat.
“Peniaga itu kemudian terdengar bunyi kaca dipecahkan dan mendapati dua dulang rantai emas di ruang kaca pameran telah hilang kecuali hanya pistol mainan berwarna hitam ditinggalkan di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari.
Menurutnya, sebelum itu terdapat saksi awam melihat seorang lelaki berpakaian serba hitam masuk ke dalam kedai emas dalam keadaan mencurigakan.
“Saksi juga melihat suspek keluar dari kedai dan melarikan diri menaiki sebuah motosikal yang diletakkan di hujung kedai.
“Mangsa mendakwa kehilangan kira-kira 50 rantai tangan emas pelbagai berat dengan anggaran kerugian lebih kurang RM250,000,” tambahnya.
Ashari berkata, premis berkenaan tidak dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV).
“Bagaimanapun hasil siasatan forensik pasukan D10 IPK Melaka berjaya menemukan tiga cap jari.
“Pihak polis juga mengalu-alukan orang awam yang mempunyai maklumat kes supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di talian 06 – 5562222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette