KOTA TINGGI – Seorang mangsa banjir di Taman Aman di sini sempat menyelamatkan persiapan raya yang yang tinggal kira-kira 10 hari lagi, namun dua motosikalnya tenggelam.
Taufik Ismail, 55, berkata, dia tidak sempat memindahkan motosikal terbabit ke tempat yang lebih tinggi.
“Baju raya semua kita sempat selamatkan. Cuma motosikal tak sempat selamatkan. Soal rumah itu kita tidak fikir sangat untuk menyambut Syawal kita ada seminggu lebih lagi, sempat untuk berkemas nanti,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dia berkata, keluarganya dan penduduk taman berkenaan sudah lebih 20 tahun berdepan situasi banjir namun menyifatkan kali ini adalah pengalaman tidak dilupakan.
Ini kerana katanya, ini pertama kali mereka berpuasa di pusat pemindahan sementara (PPS) kerana sebelum ini bencana alam itu berlaku bukan dalam bulan puasa.
Taufik berkata, rumah penduduk mula dinaiki air sejak pukul 9 pagi tadi susulan hujan lebat sejak malam semalam.
“Namun banjir yang berlaku kali ini tidak secepat banjir yang melanda rumah penduduk pada Januari lalu di mana air naik secara mendadak.
“Memang ini pengalaman pertama kami berpuasa di PPS selama 20 tahun menetap di taman ini. Ketika pindah banjir sudah berada pada paras lutut kini sudah mencecah paras pinggang jadi memang perlu berpindah untuk keselamatan diri.
“Apa yang penting nyawa kita selamat, rumah tidak apa. Tambahan pula kita sejak dapat maklumat tentang amaran hujan lebat kita memang sudah bersedia.
“Ditambah pula taman ini memang hotspot banjir. Kita bersyukur apa yang penting semua ahli keluarga selamat,” katanya.
Susulan hujan lebat berterusan sebanyak 16 PPS telah dibuka di daerah ini melibatkan 733 mangsa daripada 212 keluarga setakat pukul 8 malam tadi.
PPS antaranya di Dewan Serbaguna Kota Kechil danĀ Kolej Vokasional Kota Tinggi dibuka pukul 11.50 pagi manakala PPS Dewan Al Barokah Seri Delima, Balai Raya Kampung Tersusun Sri Delima, Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Usman Awang dibuka pukul 12.40 tengah hari.
Sementara itu, PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Mawai dan SK Bukit Lintang dibuka 2 petang, manakala Dewan Kampung Baru Sungai Mas, Dewan Kampung Makam, Sekolah Rendah Agama Bersepadu dan SK Sungai Telor dibuka pukul 2.50 petang tadi.- MalaysiaGazette