Lilis Saslinda meninjau bekalan keperluan harian selepas sesi Walkabout PJRM Aidilfitri di Dewan Muafakat Taman Nusa Damai, Pasir Gudang, hari ini.

JOHOR BAHRU – Jualan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Salam Ramadan 2025 di lapan lokasi terpilih di Johor bermula 22 Februari hingga 7 Mac lalu mencatatkan RM1.69 juta.

Pengarah Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, jualan tertinggi di Tapak Pasar Khamis Kampung Sungai Tiram di sini iaitu sebanyak RM386,345 dan merekodkan seramai 2,015 pengunjung.

“Kedua tertinggi adalah di Tapak Lama Pasar Minggu Taman Anggerik, Bandar Tenggara di Kota Tinggi dengan jumlah jualan RM196,882, diikuti JDT Corner Big Screen Dataran Cenderawasih, Sungai Abong dekat Muar sebanyak RM190,802.

“Program ini secara keseluruhannya telah memanfaatkan seramai 28,070 orang dari keseluruhan lokasi PJRM dianjurkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sesi Walkabout PJRM Aidilfitri di Dewan Muafakat Taman Nusa Damai, Pasir Gudang, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, PJRM Aidilfitri di Johor berlangsung di sembilan lokasi secara berperingkat bermula hari ini sehingga 29 Mac depan, yang mana Dewan Muafakat Taman Nusa Damai merupakan lokasi pertama.

Beliau berkata, jualan bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang itu menawarkan sebanyak 64 barangan keperluan asas termasuk ayam, santan, beras dan rempah-ratus dengan potongan harga antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga asal.

“Buat pertama kali PJRM turut menawarkan jualan daging segar berbanding daging sejuk beku di lokasi terpilih sempena Aidilfitri. Kebanyakan barang yang ditawarkan juga adalah barang yang dicari sempena perayaan, justeru kita mengalu-alukan kehadiran orang ramai,” katanya.

PJRM seterusnya diadakan pada Sabtu di tempat letak kereta berhampiran Masjid Jamek Taman Perling di sini dan Laman Kampung Melayu di Kluang, sementara Pusat Perdagangan Parit Yaani, Batu Pahat (Ahad).

Ini diikuti Tapak Pasar Tani Bandar Segamat (25 Mac), Ppekarangan Bangunan Koperasi Felda Tunggal, Kota Tinggi (27 Mac), Dewan Muafakat Bandar Baru Bukit Gambir, Tangkak (27 Mac), Dewan Muafakat Taman Saujana, Pontian (27 Mac) dan Tapak Parkir BS Taman Wawasan, Mersing (29 Mac).

Lilis Saslinda berkata, PJRM kali ini turut memberi peluang kepada peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) bagi memperluas perniagaan mereka dengan penjualan produk seperti kuih-muih dan kerepek pada harga berpatutan.

Menurutnya, pelaksanaan PJRM Aidilfitri inisiatif Kerajaan Madani menerusi KPDN adalah bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat untuk membeli keperluan asas pada harga yang lebih murah khususnya dalam membuat persiapan perayaan.

“Justeru itu melalui pelaksanaan program ini diharapkan dapat meringankan beban rakyat Johor khususnya untuk melakukan persediaan menyambut lebaran yang bakal tiba tidak lama lagi,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here