KUALA LUMPUR- Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali Ke-125 memutuskan sebanyak 12 buku dikenakan Perintah Larangan Kementerian Dalam Negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI Datuk Dr Nooh Gadot berkata 12 buku itu ialah ‘The Goal of The Wise’ (Abdullah Hashem Aba al-Sadiq); ‘Memahami dan Menyingkapi Tradisi Tuhan – Kebangkitan yang Dibenci tapi Dirindui’ (Ahmad Mesiyyakh); ‘Manusia Sebelum Adam’ (Luqmanul Hakim Abdul Razak); ‘Suhuf Abraham’ (tanpa penulis & tahun terbit); ‘Suka Duka Perjalanan Dhul Qarnain’ (tanpa penulis & tahun terbit) serta ‘Islam, Autoritarianisme dan Kemunduran Bangsa’ (Ahmet T. Kuru).
Buku yang turut disenaraikan ialah ‘Perikatan Ulama – Negara Punca Autoritatianisme dan Kemunduran Dunia Muslim’ (Ahmet T. Kuru); ‘Golongan Muslim Pertama, Sejarah dan Memori’ (Asma Afsaruddin); ‘Jalan Kebenaran Universal’ (tanpa penulis & tahun terbit); ‘Duhai Hati – Menarilah Bersamaku’ (Ismail Ariffin@Lepat); ‘Kaidah Moral dan Disiplin’ (tanpa penulis & tahun terbit) serta ‘Penemuan Terbaru Akidah Bersanad Imam AI-Shafi’i’ (Sadr al-Din Abu al-Wafa’ Sulayman bin Yusuf al-Yasufi).
“Kesemua 12 buku dibentangkan mengandungi ajaran dan fahaman yang bertentangan dengan akidah ahli Sunnah Wal Jamaah (AI-Asya’irah AI- Maturidiyyah), syariah dan akhlak Islam yang dapat mengelirukan masyarakat Islam. Oleh itu, buku-buku berkenaan perlu diharamkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nooh turut mengingatkan semua umat Islam adalah dilarang memiliki, menyimpan, mencetak, menjual termasuk mengedarkan apa-apa terbitan berkenaan isi kandungan buku-buku tersebut.
Ketetapan itu dipersetujui semasa Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI yang bersidang pada 24 hingga 26 Sept tahun lepas bagi membincangkan mengenai Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Media Berunsur Islam (JPMBI) Kali Ke-96.
— BERNAMA