KUALA LUMPUR – Dua tayangan filem tempatan telah disekat kerana terkait dengan masalah tunggakan gaji para pelakon dan kru produksi.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan syarikat produksi yang gagal melunaskan pembayaran kepada para pekerja produksi.
“Kami telah mengenal pasti sekurang-kurangnya dua filem yang terlibat.
“Saya tidak akan menyebut nama filem-filem tersebut, tetapi mereka tahu siapa yang dimaksudkan.
“Walaupun penerbit sudah menerima Dana Kandungan Kreatif (DKK) yang disalurkan, para pekerja masih belum menerima gaji mereka,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Seniman 2025 di Hotel Grand Barakah, Ampang, Selangor, hari ini.
Beliau menegaskan, syarikat produksi terbabit perlu menyelesaikan tunggakan pembayaran sebelum karya mereka boleh ditayangkan.
“Kami telah memaklumkan kepada mereka supaya melunaskan bayaran yang tertunggak.
“Selepas itu, barulah mereka boleh memohon tayangan, terutamanya di bawah skim wajib tayang,” jelasnya.
Selain itu, Fahmi turut mengarahkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk menyemak semula syarat permohonan dana dan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) bagi menangani isu ini.
Hari Seniman 2025, yang bertemakan ‘Seni Merentasi Budaya dan Generasi’, dianjurkan oleh FINAS bagi menghargai sumbangan penggiat industri seni.
Acara ini diraikan pada 22 Mac setiap tahun, dan pada tahun ini, seramai 20 penggiat seni menerima sumbangan wang tunai sebagai persiapan menyambut Aidilfitri. – MalaysiaGazette