JOHOR BAHRU – Banjir yang berlaku serentak selepas hujan lebat berterusan dalam tempoh 48 jam semalam memberikan cabaran luar biasa kepada bomba Johor.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Siti Rohani Nadir berkata, bencana alam itu berlaku hampir di semua kawasan rendah dan kawasan baharu terutama di daerah ini, menyukarkan pergerakan pihaknya untuk menyelamatkan mangsa banjir.
Beliau berkata, keadaan itu ditambah lagi dengan karenah segelintir mangsa banjir di daerah ini yang berdegil tidak mahu keluar dari kediaman masing-masing apabila diarahkan berpindah.
Pada masa sama katanya, dalam tempoh tersebut pihaknya menerima panggilan penyelamatan tinggi berbanding hari biasa.
“Sejak semalam, seluruh kekuatan anggota digerakkan bagi membantu operasi penyelamatan mangsa banjir yang berlaku secara serentak di semua lokasi terutama kawasan teruk terjejas di bandar raya ini.
“Memindahkan mangsa banjir mencabar kerana ada segelintir mereka tidak mahu berpindah apabila diarahkan, dengan memberi alasan ‘terbiasa’ dan reda dengan banjir, air akan surut dalam tempoh beberapa jam, tetapi yang berlaku sebaliknya,” katanya ditemui di Sungai Pandan berdekatan Kampung Kangkar Tebrau di sini, hari ini.
Katanya, terdapat mangsa banjir yang enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana lebih selesa dan mahu menjalani ibadah bulan puasa di rumah sendiri.
“Walaupun telah diarahkan untuk berpindah tetapi mereka ini enggan berbuat demikian, sebaliknya meminta kita memberi bekalan makan,” katanya.
Menurut Siti Rohani, pihaknya menasihatkan kepada masyarakat terutama mangsa banjir agar segera keluar ke lokasi PPS yang ditetapkan selepas diarah berbuat demikian.
Menurut beliau, kemudahan di PPS lebih terjamin termasuk bekalan makanan dan kemudahan lain.
“Sekiranya mereka memilih untuk menetap di rumah, kita sendiri sukar menyalurkan bantuan, kita gesa agar mereka berpindah setelah diarahkan tetapi mereka sendiri degil dan tak mahu keluar dari rumah masing-masing,” katanya.
Mengulas lanjut, Siti Rohani menjelaskan, banjir kali ini membabitkan kekuatan seramai 655 tenaga anggota dan pegawai serta jentera, lori, utiliti dan bot turut digerakkan.
Setakat ini, tiada keperluan untuk pertukaran shift anggota bertugas dari 12 jam kepada 24 jam berikutan keadaan dan operasi masih terkawal.
“Kalau kemungkinan berlaku lagi hujan lebat, kita akan gerakkan pasukan bantuan dari balai luar daerah terjejas banjir, untuk bersama-sama dalam operasi penyelamatan mangsa banjir,” katanya.- MalaysiaGazette