Oleh: Muhamad Nabil Saiful Anuar
DALAM setahun, terdapat satu malam yang amat mulia dan ia merupakan satu rahmat buat seluruh umat Islam. Pada ketika itu, terjadinya malam yang sangat luar biasa kerana keistimewaannya yang tiada pada bulan-bulan yang lain selain Ramadan. Ia dikenali sebagai Lailatul qadar dan diberi gelaran juga dengan malam 1000 bulan.
Secara asas, Lailatul qadar merupakan satu ungkapan berasal daripada kalimah bahasa Arab yang bermaksud malam kemuliaan dan keberkatan kerana pada malam itu adalah lebih baik daripada seribu bulan. Ini selari dengan firman Allah SWT dalam surah al-Qadr ayat 2-5, maknanya: “Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar”.
Menurut Syeikh Mustafa al-Maraghi dalam kitab Tafsir al-Maraghi, malam itu (Lailatul qadar) ialah merupakan malam penuh keberkatan, kerana Allah memuliakannya dengan menurunkan al-Quran sebagai petunjuk dan hidayah bagi manusia. Malam ini lebih baik daripada seribu bulan, menunjukkan keagungan dan kelebihannya sebagai suatu nikmat dari Allah kepada umat Islam. Ia diibaratkan leih baik dari 1000 bulan kerana malam tersebut dipenuhi dengan cahaya petunjuk dan menjadi titik tolak bagi syariat baru yang diturunkan kepada sebaik-baik manusia (Rasulullah SAW).
Malam ini menjadi asas bagi agama terakhir yang relevan untuk seluruh manusia di setiap masa dan tempat. Malah ia lebih baik daripada 1000 bulan yang dipenuhi dengan kegelapan syirik dan kesesatan akidah, di mana manusia sebelumnya tenggelam dalam kejahilan tanpa petunjuk dari Allah SWT. Bagi umat Islam, malam ini sepatutnya dihayati dengan ibadah dan kesyukuran, kerana ia adalah detik penting dalam sejarah Islam. Turunnya al-Quran membawa petunjuk bagi manusia, mengeluarkan mereka daripada kegelapan kepada cahaya hidayah, dan mengangkat umat Islam ke martabat yang lebih tinggi.
Di samping itu, terdapat beberapa peristiwa yang menjadi misteri dan pertanyaan kepada seluruh umat Islam tentang malam 1000 bulan. Fokus utama adalah berkaitan dengan rahsia disembunyikan bilakah berlakunya Lailatul qadar. Secara umumnya, Lailatul qadar berlaku pada 10 terakhir daripada malam ganjil dalam bulan Ramadan. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW, maknanya: “Carilah Lailatul qadar pada sepuluh akhir bulan Ramadan dalam malam ganjil.” (HR Bukhari).
Hakikat yang berlaku pada malam itu, malaikat akan turun ke bumi menyaksikan umat Islam yang bersungguh-sungguh merebut peluang Lailatul qadar dengan melakukan amal ibadah dan amal saleh sebanyaknya. Allah SWT memberikan ganjaran pahala yang berganda-ganda kepada hambaNya dibandingkan pada malam-malam yang lain. Nilai ganjaran pahala yang diperoleh umpama melakukan ibadah selama 1000 bulan lamanya. Akan tetapi, hakikat di sebalik segala keindahan dan kenikmatan malam Lailatul qadar hanya dalam pengetahuan Allah SWT sahaja.
Rahsia di sebalik disembunyikan malam ini adalah terdapatnya hikmah yang sangat besar. Di antaranya adalah menjadikan seluruh umat Islam terus beribadah pada setiap malam di 10 akhir Ramadan dengan harapan mendapatkan kemuliaan Lailatul qadar. Seandainya perkara ini dalam pengetahuan manusia, sudah tentu sikap umat Islam mula berubah dengan hanya menunggu dan melaksanakan ibadah pada waktu yang diketahui sahaja umpamanya mengerjakan solat fardu jumaat pada hari jumaat. Oleh hal yang demiklian, pada malam 1000 bulan tiada keistimewaannya yang luar biasa. Dengan itu, umat Islam perlu meletakkan pengharapan bahawa segala amal ibadah yang dilakukan dalam bulan Ramadan khususnya pada malam Lailatul qadar diterima oleh Allah SWT.
Selain itu, peristiwa yang turut menjadi misteri kepada umat Islam adalah berkaitan dengan tanda-tanda terjadinya malam seribu bulan. Rasulullah SAW amat menganjurkan umatnya supaya bersungguh-sungguh dalam mencari dan memburu malam Lailatul qadar dengan memperbanyakkan amal ibadah pada waktu itu. Selari dengan sebuah hadis daripada Aisyah RA, beliau berkata, maknanya: “Rasulullah SAW bersungguh-sungguh pada 10 malam terakhir yang kesungguhannya tidak sama seperti pada waktu-waktu yang lainnya” (HR Muslim).
Dengan demikian, seorang muslim sewajarnya mengetahui dan menyadari akan kewujudan tanda-tanda berlakunya malam Lailatul qadar. Namun demikian, terdapat beberapa petunjuk yang boleh dicerap tanggal berlakunya lailatul qadar. Pertama, seseorang itu dapat merasai suasana yang amat menyenangkan di kawasan sekitarnya, udara yang begitu nyaman dan tiupan angin yang sangat lembut. Kedua, matahari terbit dengan sinaran cahaya yang redup dan tidak menyilaukan mata
manusia pada keesokan harinya. Petunjuk ini bertepatan dalam sebuah hadis sabda Rasulullah SAW, maknanya: “Malam itu adalah malam yang cerah yaitu malam ke-27h (dari bulan Ramadan). Dan tanda-tandanya ialah, pada pagi harinya matahari terbit berwarna putih tanpa sinar yang menyorot.” (HR Muslim).
Ketiga, biasanya berlaku di malam-malam ganjil akhir 10 Ramadan. Tetapi, ia tidak menafikan kebarangkalian belakunya lailatul qadar di malam-malam genap. Petunjuk ini selari dalam sebuah hadis sabda Rasulullah SAW, maknanya: “Carilah malam lailatul qadar di malam ganjil dari sepuluh terakhir bulan Ramadhan.” (HR Bukhari). Keempat, seseorang itu merasakan tenangnya hati dan lazatnya beribadah kepada Allah SWT. Oleh itu, daripada keempat-empat formula ini sangat mudah untuk mengenalpasti secara zahir petunjuk malam lailatul qadar. Namun, bukanlah semua manusia terpilih mendapatkan Lailatul qadar kerana ia hanya dapat dirasai bagi orang yang benar-benar ikhlas dalam beribadah kepada Allah SWT.
Tuntasnya, malam 1000 bulan tidak ada batasan dalam melakukan amal ibadah kerana ruang dan peluang sangatlah luas diberikan kepada umat Islam melainkan mereka yang enggan menjadi tetamunya. Seandainya kita memahami dan menghayati keistimewaan Lailatul qadar dengan lebih mendalam nescaya kita tidak akan mensia-siakannya sekalipun sesaat dengan perkara yang tidak bermanfaat.
Jika ditelusuri dalam teladan baginda SAW, banyak hadis yang menceritakan tentang keadaan Rasulullah SAW ketika memasuki 10 malam terakhir dalam bulan Ramadan. Baginda beribadah secara intensif. Betapa ruginya mereka yang mengabaikan malam-malam Ramadan. Justeru sama-samalah kita merebut peluang ini dengan meningkatkan amal ibadah dan amal saleh di masa yang masih berbaki agar kita termasuk dalam golongan yang memperolehi ganjaran Lailatul qadar.
Penulis adalah Mahasiswa Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir