KUALA LUMPUR – Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) mempertahankan kenyataan timbalan presiden Parti itu, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa jawatan Perdana Menteri harus kekal disandang oleh pemimpin Melayu Islam.
Pengarah Media dan Komunikasi Strategik DHPP Pusat, Ts Dr Subas Chantirabos Arumugam menegaskan, perkara itu selari dengan amalan sejak kemerdekaan serta semangat Perlembagaan Persekutuan.
Tegas Subas, isu ini bukan soal menafikan hak mana-mana kaum, tetapi lebih kepada memastikan kestabilan negara melalui penghormatan kepada kontrak sosial yang telah dipersetujui sejak 1957.
“Malaysia telah mengekalkan keharmonian dengan berpegang kepada kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh semua kaum. Prinsip ini menjadi asas kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat, maka adalah penting untuk kita terus menghormati asas kenegaraan yang telah dibina bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan DHPP ini dibuat susulan kritikan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, yang tidak bersetuju dengan cadangan Pas berhubung perkara itu.
Sin Woon mendakwa cadangan tersebut cuba merendahkan kedudukan serta sumbangan masyarakat bukan Melayu dan menafikan hakikat Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.
Mengulas perkara itu, Subas menegaskan, realiti politik negara menunjukkan Perdana Menteri Malaysia sentiasa datang dari kalangan pemimpin Melayu, yang juga mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong berdasarkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.
“Sebagai sebuah negara berbilang kaum, setiap pihak mempunyai peranan dalam membangunkan negara. Namun, kita tidak boleh menafikan sejarah dan tradisi pemerintahan yang telah terbukti mengekalkan kestabilan negara selama ini,”tambahnya.
Menurutnya, DHPP menyokong keamanan dan keharmonian yang telah dikecapi serta menyeru semua pihak untuk terus menghormati asas-asas kenegaraan yang telah dipersetujui sejak merdeka.
“Malaysia telah mencapai kejayaan dalam mewujudkan perpaduan nasional. Sebarang usaha untuk mengubah tradisi ini boleh membawa kesan yang tidak baik kepada kestabilan negara,” ujarnya. -MalaysiaGazette