Tertuduh, Mohd Rafi'uddin Hamidon diiringi polis ketika tiba di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang doktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Jenayah di sini, hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan seks di luar tabii ke atas pembantu kliniknya.

Dr Mohd Rafi’uddin Hamidon, 35 tahun membuat pengakuan tidak bersalah terhadap dua-dua pertuduhan selepas dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zaki Mohd Salleh.

Mohd Rafi’uddin didakwa melakukan kejadian berkenaan ke atas pembantunya, seorang wanita berusia 21 tahun di dalam stor sebuah klinik di Pantai Dalam kira-kira jam 4.00 pagi, 15 Mac lalu.

Dia juga didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dengan secara paksa memasukkan jarinya ke dalam bahagian sulit mangsa.

Pertuduhan pertama dikemukakan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Manakala pertuduhan kedua, yang dikemukakan di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun serta sebatan jika disabitkan kesalahan.

Semasa rayuan, peguam yang mewakili tertuduh, Adi Zulkarnain Zulkafli memaklumkan bahawa tertuduh merupakan seorang pengamal perubatan am yang menyara isteri dan tiga orang anak, termasuk seorang bayi yang baru lahir.

Difahamkan juga bahawa tertuduh tidak lagi beramal di klinik berkenaan.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM18,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan Rafiuddin menyerahkan pasportnya serta melaporkan diri ke balai polis berhampiran dua kali dalam sebulan.

Tarikh sebutan kes ditetapkan pada 23 April depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here