JOHOR BAHRU – Kira-kira 60 mangsa banjir daripada enam keluarga yang terkandas semasa berkumpul di sebuah rumah di Kampung Maju Jaya di sini akibat jalan terputus, berjaya diselamatkan Angkatan Pertahanan Awam (APM) melalui laluan Sungai Tebrau malam tadi.
Ketua kampung tersebut, Roslan Hassan berkata, mereka diselamatkan dengan menaiki bot secara berulang alik beberapa kali dalam jumlah yang sedikit kerana arus deras.
“Mereka dipindahkan selepas waktu berbuka antara pukul 8 hingga 10 malam tadi secara berperingkat-peringkat. Mereka lambat dipindahkah kerana kawasan rumah mereka tinggi dan tidak menjangka air boleh naik dengan cepat dan tinggi sehingga paras dada.
“Mereka kemudian meminta bantuan pihak bomba dan APM untuk dipindahkan. Pada peringkat awal penduduk kampung juga cuba membantu dengan menggunakan bot mereka.
“Namun disebabkan bot tiada enjin dan perlu mendayung dalam keadaan arus deras, mereka tidak meneruskan hasrat itu,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kampung Maju Jaya di sini hari ini.
Roslan berkata, air mula naik di kampung berkenaan pada pukul 10 pagi semalam dan mereka dipindahkan secara berperingkat-peringkat sebelum air Sungai Tebrau di kampung tersebut mula menenggelamkan jambatan menyebabkan terputus hubungan.
Secara keseluruhan katanya, kira-kira 80 peratus daripada lebih 3,000 penduduk kampung melibatkan 720 buah rumah terjejas banjir kali ini termasuk Sekolah Kebangsan (SK) Kampung Maju Jaya dan Sekolah Agama (SA) Kampung Maju Jaya tidak beroperasi.
“Seramai 140 keluarga dari Kampung Maju Jaya sudah berdaftar di PPS ini setakat pukul 10 pagi tadi termasuk saya dan keluarga yang menjadi mangsa banjir. Saya baru beli kabinet, sofa dan tablet pada Isnin lalu tetapi semuanya musnah.
“Semua barangan yang baru dibeli termasuk perabot, kerusi, meja dan televisyen semuanya tenggelam kerana air naik paras dada. Kerugian dianggarkan puluhan ribu ringgit,” ujarnya dalam nada sedih.
Sementara itu, mangsa banjir yang terkandas, Faridah Abd Ghafar, 62, berkata, mereka tidak berpindah sebelum itu kerana biasanya banjir tidak sampai ke rumah mereka kerana lokasi enam rumah penduduk berkenaan di kawasan tinggi.
“Semua yang menumpang di rumah saya adalah jiran-jiran kerana rumah saya adalah yang paling tinggi dan tidak pernah dinaiki air tetapi pukul 4 petang semalam air sudah naik. Kami tidak dapat keluar kerana arus kuat dan dalam pukul 5 petang penduduk cuba menyelamatkan kami dengan bot tetapi tidak berani ambil risiko.
“Jadi kami tunggu bantuan pihak APM di rumah dan masa buka puasa kami makan megi yang dimasak dalam periuk nasi elektrik kerana rumah saya masih tidak terputus bekalan elektrik berbanding rumah lain,” ujar ibu kepada dua anak itu.
Dia berkata, keluarganya dipindahkan pada pukul 9 malam tadi dan mereka semuanya dibawa ke PPS tersebut dengan bot APM melalui laluan sungai kerana jalan sedia ada sudah terputus hubungan.- MalaysiaGazette