JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir di Johor terus naik mendadak kepada 10,763 orang membabitkan 3,018 keluarga, setakat pukul 8 pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, semua mangsa banjir dari daerah Johor Bahru, Kota Tinggi, Pontian, Kluang dan Kulai itu dipindahkan ke 98 pusat pemindahan sementara (PPS).
“Johor Bahru masih mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir yang paling besar yang mana kini mencecah 4,291 orang daripada 1,138 keluarga ditempatkan di 27 PPS.
“Ini diikuti Kota Tinggi dengan 1,762 mangsa (504 keluarga) di 17 PPS dan Pontian pula meningkat kepada 1,395 mangsa (387 keluarga) di 19 PPS.
“Jumlah mangsa banjir di Kluang pula melibatkan 2,163 mangsa membabitkan (635 keluarga) di 27 PPS manakala Kulai kini mencecah 1,152 orang terdiri (354 keluarga) ditempatkan di lapan PPS,” ujarnya yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri menerusi kenyataan akhbar, hari ini.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) masih tidak mengeluarkan sebarang amaran ribut petir bagi negeri ini, namun masih dengan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk di enam daerah.
Amaran hujan lebat berterusan itu membabitkan daerah Johor Bahru, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai dan Kota Tinggi yang dijangka berlaku sehingga hari ini.
Amaran hujan berterusan tahap waspada pula dikeluarkan membabitkan daerah Tangkak, Segamat, Muar dan Batu Pahat, juga dijangka sehingga hari ini.
Pada masa sama, Sungai Batu Pahat, Sungai Endau, Sungai Johor, Sungai Pulai, Sungai Skudai dan Sungai Jemaluang merekodkan bacaan air sungai melepasi paras bahaya.
Semua daerah di negeri ini masih dilaporkan hujan setakat jam 8 pagi tadi. – MalaysiaGazette