PELABUHAN KLANG – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman merampas ketulan mampat dipercayai dadah jenis methampetamine seberat 33,200 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM1.62 bilion dalam satu operasi, di sini, 25 Januari lalu.
Pemangku Pengarahnya, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, kesemua dadah itu ditemui dalam 166 tong drum berwarna biru selepas pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas dua kontena, di Pelabuhan Barat, di sini.
“Dalam operasi jam 11 pagi itu, sepasukan JSJN Bukit Aman telah membuat pemeriksaan ke atas dua buah kontena yang berada di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang.
“Kontena tersebut berasal dari Iran dan telah transit di Pelabuhan Klang dan hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua kontena tersebut, polis telah menjumpai sebanyak 166 tong berwarna biru.
“Setiap kontena yang mengandungi 83 tong tersebut dianggarkan seberat kira-kira 16,600 kg yang mana setiap tong beratnya lebih kurang 22kg,” katanya pada sidang media di Balai Polis Pelabuhan Klang, di sini, hari ini.

Turut hadir Pegawai Kanan (Kaunselor), Polis Persekutuan Australia (AFP), Nick Moger dan Ejen Persekutuan Kuala Lumpur AFP, Jarryd Dunbar.
Mat Zani juga tidak menolak kemungkinan rampasan dadah itu merupakan yang terbesar seluruh negara, setakat ini.
“Setakat ini, rampasan dadah ini yang terbesar di Malaysia.
“Ekoran daripada rampasan dadah ini, kita telah berjaya menumpaskan satu cubaan penyeludupan dadah yang terbesar untuk pasaran antarabangsa.
“Kes ini kita siasat di bawah Seksyen 39 (b) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, dua kontena yang membawa 166 tong berisi dadah terbabit diimport dari Iran dan dibawa ke negara ini sebagai transit sebelum dipasarkan ke Australia.
“Jumlah dadah ini kalau tersebar kepada semua masuk ke negara kita, atau ke luar negara, boleh digunakan seramai 166 juta individu.
Dua konsimen ini yang kita rampas dan periksa adalah hasil kerjasama dengan pihak AFP dan consiment ini dihantar dari Iran, transit ke Malaysia dan seterusnya akan dipasarkan ke Australia.
“Harga pasaran dadah ini kira-kira RM33,000 sekilogram di negara, tetapi harganya jauh lebih tinggi di Australia, kira-kira RM400,000 sekilogram,” katanya.

Ditanya tentang tempoh yang diambil Bukit Aman untuk mengesan sebelum membuat sitaan terhadap kontena tersebut, beliau berkata, pihaknya mengambil masa dua minggu.
“Hasil kerjasama dengan pihak AFP, mereka bagi maklumat kepada kita dan kita ambil tindakan.
“Kita lambat dedah sebab kita nak kesan syarikat yang menghantar itu dan penerima. Kedua kita nak pastikan bahawa isi kandungan itu betul-betul ada methampetamine atau tidak,” katanya.
Katanya lagi, pihak AFP telah menahan beberapa individu dan butirannya tidak boleh didedahkan susulan kes itu masih dalam siasatan.
“Tangkapan dibuat di Australia dan pihak AFP sedang menjalankan siasatan, perancang orang luar.
“Kontena ini dibawa ke negara ini dengan diikrar sebagai bahan kosmetik dan untuk lilin,” katanya lagi. – MalaysiaGazette