KLANG – Polis sedang mengesan dan dalam usaha untuk menangkap dua individu yang disyaki terlibat dalam pergaduhan susulan penularan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di media sosial, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kedua-dua suspek itu masih bebas dan orang ramai diingatkan tidak menularkan video seumpama itu bagi mengelakkan kegusaran awam.
“Adalah dinasihatkan agar awam tidak menularkan video tersebut bagi mengelakkan kegusaran masyarakat setempat.
“Pihak polis turut dalam usaha untuk mengesan dan menangkap dua suspek yang masih bebas.
“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, untuk hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun dipercayai mempunyai kaitan dengan pergaduhan melibatkan dua individu lain di Jalan Persiaran Raja Muda, di sini, kira-kira jam 11 malam, 12 Februari lalu.
“Suspek yang ditangkap mempunyai enam rekod jenayah lampau.
“Kertas siasatan telah dirujuk ke timbalan pendakwa raya dan arahan untuk tuduh suspek di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
“Suspek telah dituduh di Mahkamah Klang pada 17 Februari lalu,” katanya.
Hoong Fong berkata, tangkapan itu susulan laporan diterima pihaknya daripada seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun menyatakan bapa saudaranya iaitu mangsa dipukul di Jalan Persiaran Raja Muda, Klang, 8 Februari lalu.
“Hasil siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku pada 7 Februari kira-kira jam 9.30 malam di mana mangsa lelaki tempatan berusia 37 tahun dipukul abang ipar dan dua rakannya menggunakan batang kayu dan parang.
“Punca pergaduhan ini adalah disebabkan isu keluarga,” katanya.
Jelasnya, mangsa mengalami kecederaan luka di bahagian kepala dan kedua-dua tangan serta menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
“Bahagian siasatan jenayah telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan cedera menggunakan senjata,” katanya. – MalaysiaGazette