Datuk Seri Siti Nurhaliza.

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa syukur apabila lagu ‘Raya Nak Ke Mana?’ yang dihasilkan oleh penyanyi, Aisyah Retno dan pasukannya berjaya mencecah satu juta tontonan hanya dalam tempoh seminggu ia dikeluarkan.

Beliau atau lebih mesra dipanggil TokTi memuji kebolehan Aisyah Retno dalam menghasilkan sebuah karya yang meriah dan segar.

“Generasi baharu seperti Aisyah Retno membawa pendekatan yang berbeza berbanding komposer terdahulu seperti Pak Ngah, namun masing-masing memiliki kekuatan tersendiri.

“Saya bangga dengan kebolehan Aisyah Retno dan pasukan kerana kemeriahan lagu itu memang terasa.

“Ia mengembalikan semula suasana atau mood lagu-lagu raya saya yang lama,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Malam Silaturrahim dan Berbuka Puasa Yayasan Nurjiwa di Hotel Grand Barakah, Palm Square, Ampang Jaya, semalam.

Tokti turut berkongsi semangat beliau untuk bereksperimen dengan melodi dan lenggok vokal semasa sesi rakaman supaya dapat membuahkan hasil yang menarik.

“Sepanjang sesi itu, Aisyah sangat supportive. Dia kata ‘Kak Siti nak buat macam mana pun boleh’, tapi saya tetap minta dia memberikan arahan sebagai pencipta lagu.

“Saya hormat Aisyah sebagai seorang pencipta lagu dan akan tanya terlebih dahulu boleh atau tidak sebelum saya membuat sesuatu,” tambahnya.

Beliau juga mendedahkan sebagai seorang artis, Tokti tidak mudah berpuas hati dengan rakaman pertama.

“Kalau orang kata dah okay, saya belum tentu okay.

“Biasanya saya akan merakam beberapa versi supaya pasukan produksi mempunyai lebih banyak pilihan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here