Kenderaan yang membawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memasuki ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Siasatan  terhadap individu berprofil tinggi yang dilakukan secara terbuka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah perkara biasa dan tidak melanggar etika selagi ia dilakukan berlandaskan bukti.

Presiden Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (Pakar), Nasir Ab Hadi berkata, berdasarkan rekod telah terbukti bahawa suruhanjaya itu bertindak secara konsisten tanpa mengira kedudukan individu atau parti politik.

Sehubungan katanya, dakwaan mengatakan suruhanjaya berkenaan tidak profesional atau bersifat berat sebelah khususnya melibatkan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, adalah tidak benar.

“Dakwaan (Ahli Parlimen Pasir Gudang) Hassan Abdul Karim bahawa terdapat kepincangan dalam siasatan SPRM terhadap Ismail Sabri adalah tidak berasas apabila dibandingkan dengan kes-kes terdahulu,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut beliau, pengumuman siasatan terhadap individu berprofil tinggi seperti Ismail bukan perkara baharu sebaliknya ia bertujuan untuk memberi keyakinan kepada rakyat bahawa siasatan sedang dijalankan dengan serius.

“Penting untuk diingat bahawa dalam proses siasatan, agensi penguat kuasa mempunyai budi bicara untuk menentukan pendekatan terbaik bagi memastikan ketelusan dan keadilan dalam menjalankan tugas mereka,” tambahnya.

Selain itu tambah Nasir, amalan memaparkan bukti dan aset yang dirampas telah dilakukan terhadap banyak siasatan sebelum ini, termasuklah kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada tahun 2018, kes Jabatan Air Sabah pada 2016 dan kes Counter Setting pada tahun lalu.

Tegasnya, SPRM bertindak berdasarkan undang-undang bukan kepentingan politik seperti yang didakwa.

Baru-baru ini, Hassan mendakwa penyiasatan SPRM terhadap Ismail sekarang ini menyerlahkan kepincangan agensi tersebut.

Menurutnya, keadaan tersebut nyata melanggar etika professional sebuah agensi penguatkuasa malah tidak wajar bahan bukti kes bekas Perdana Menteri itu dipamerkan dalam sidang akhbar sedangkan siasatan SPRM masih belum selesai.

Dalam pada itu, Nasir berkata, kebimbangan mengenai prosedur siasatan sepatutnya disalurkan menerusi saluran yang betul, seperti Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) demi memastikan integriti dan profesionalisme SPRM terus terpelihara sekaligus tidak menjejaskan proses siasatan yang sedang berjalan.

Beliau turut menggesa supaya ahli-ahli politik dan pihak berkaitan supaya tidak mengganggu tugas pihak penguatkuasaan dalam negara khususnya dalam membanteras rasuah.

“Sebaliknya memberi sokongan dalam melunaskan amanah demi kemakmuran dan masa depan negara Malaysia yang kita cintai ini,” ujarnya.

Terdahulu, SPRM dilaporkan menyita wang kira-kira RM170 juta membabitkan mata wang seperti Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan serta 16 kilogram jongkong emas yang dianggarkan bernilai RM7 juta.

Sehingga kini dilaporkan, SPRM sudah merekodkan keterangan 36 individu dalam siasatan terhadap kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Ismai.

Menurut sumber, 32 saksi dan empat bekas pegawai Ismail yang ditahan sebelum ini sudah dirakam percakapan.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA). -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here