Oleh: Noor Ismawati Jaafar
DALAM era digital pada masa kini, teknologi telah menjadi komponen penting dalam kehidupan seharian. Perubahan teknologi terutamanya penggunaan alat digital tidak dapat dipisahkan dari gaya hidup masyarakat. Daripada telefon pintar kepada jam tangan pintar, gajet menawarkan pelbagai kemudahan, hiburan dan ketersambungan. Bagi golongan warga emas, tren penggunaan gajet mendatangkan kebaikan di samping keburukan. Gajet baik untuk tujuan perhubungan tetapi ia juga dilihat membawa kesan kepada rasa pengasingan sosial kepada golongan warga emas.
Gajet, terutamanya telefon pintar, media sosial dan alat bantuan berkuasa kecerdasan buatan (AI) telah merubah cara berkomunikasi untuk warga emas. Terdapat banyak aplikasi berbentuk panggilan video, aplikasi mesej dan jaringan sosial yang membenarkan mereka berhubung dengan orang tersayang tanpa perlu keluar rumah. Tetapi, tanpa disedari peningkatan penggunaan gajet ini boleh menyumbang kepada pengurangan interaksi bersemuka yang akan menyebabkan pemisahan sosial dan emosi kepada warga emas.
“Anak dan cucu saya menghantar mesej hampir setiap hari, tapi mereka jarang melawat saya sekarang. Kadang-kadang saya rasa macam hanya nama di atas skrin telefon pintar,” kata Maimunah yang berusia 90 tahun, seorang surirumah dari Kuala Lumpur.
“Sedih….Budak-budak sekarang ucap Selamat Hari Raya dan mintak maaf pun guna telefon sahaja. Salam tangan kita pun tidak. Kita rindu juga nak tatap rupa anak cucu. Tapi inilah hakikat perubahan zaman,” kata Encik Selamat yang berusia 86 tahun dari Melaka.
“Saya duduk seorang di kampung. Dah lama jugalah. Anak-anak semua jauh di KL, JB dan Pulau Pinang. Walaupun mereka selalu telefon, saya rasa rindu. Dah lama mereka tak balik. Hari Raya nanti mungkin balik,” kata Habibah yang berusia 88 tahun dari Seremban.
Kebergantungan interaksi digital yang semakin meningkat jika dibandingkan dengan lawatan secara bersemuka ini menimbulkan kebimbangan mengenai keperluan emosi di kalangan warga emas terutama menjelang bulan Syawal yang mulia nanti. Adakah mereka akan merasa lebih dihargai dan dihormati?
Gajet penyebab pemisahan?
Walaupun pada hakikatnya gajet mempunyai banyak kebaikan, kebergantungan terhadap teknologi secara berlebihan boleh merenggangkan warga emas dari menikmati pengalaman sosial dunia sebenar. Ini disumbang oleh beberapa faktor. Pengurangan interaksi bersemuka disebabkan individual berusia ini lebih cenderung menggunakan panggilan video atau mesej daripada berjumpa secara fizikal akan mengakibatkan hubungan peribadi semakin lemah.
Kebergantungan kepada rakan digital melampau seperti Pembantu AI iaitu Alexa dan Google Assistant memberi rasa berkawan justeru mengurang keinginan untuk berinteraksi dengan orang lain secara bersemuka.
Keutamaan hiburan dalam talian disebabkan oleh platform digital seperti YouTube dan Netflix dapat menghiburkan warga emas tetapi ia boleh mematahkan semangat mereka untuk melakukan aktiviti sosial dan riadah yang lain.
Kekecewaan akibat teknologi juga dilihat akan menyebabkan segelintir warga emas merasa terpinggir seterusnya mereka akan menarik diri daripada berkomunikasi secara digital sama sekali.
Lawatan keluarga yang semakin berkurangan juga dilihat akan menyebabkan warga emas rasa terpinggir di mana ahli keluarga yang lebih muda mengandaikan panggilan video atau mesej secara berkala sudah memadai untuk mengekalkan hubungan dan mengurangkan lawatan secara bersemuka.
Solusi
Ada beberapa cara untuk memastikan gajet kekal dapat memperbaiki daripada menggantikan hubungan bersemuka sesama manusia lebih-lebih lagi dengan ketibaan bulan Syawal.
Galakkan kesimbangan antara interaksi digital dan kehidupan sebenar. Keluarga harus menjadualkan lawatan fizikal biasa dan bukannya bergantung semata-mata pada komunikasi digital. Individu warga emas boleh digalakkan untuk mengambil bahagian dalam acara komuniti, kelab senior, dan aktiviti luar untuk mengekalkan penglibatan sosial. Kesibukan ini dapat memastikan warga emas sentiasa merasa terhibur.
Gunakan gajet untuk mengukuhkan dan bukan mengganti ikatan sesama manusia. Galakkan warga emas menggunakan gajet sebagai alat untuk mengatur pertemuan kehidupan sebenar dan bukannya interaksi maya sahaja. Contohnya, menggunakan Peta Google untuk perjalanan atau aplikasi acara untuk menyertai perhimpunan sosial.
Ajar generasi muda mengenai keperluan warga emas. Ahli keluarga yang lebih muda harus dimaklumkan bahawa interaksi digital bukanlah pengganti hubungan emosi dan fizikal. Menggalakkan tradisi keluarga seperti perhimpunan pada Hari Raya maupun hari Ahad atau keluar bersama keluarga boleh memastikan hubungan yang lebih mendalam.
Permudah alat digital untuk warga emas. Menyediakan peranti mesra pengguna dengan telefon yang lebih besar, pembantu suara dan navigasi yang mudah boleh membantu mengurangkan kekecewaan. Bengkel literasi digital juga boleh diperkenalkan untuk membantu warga emas menggunakan teknologi dengan berkesan.
Teknologi harus berfungsi sebagai jambatan, bukan penghalang, antara generasi. Dengan menggalakkan keseimbangan yang sihat antara penglibatan digital dan sosialisasi fizikal, gajet boleh digunakan untuk memperkayakan kehidupan warga emas dan bukannya mengasingkan mereka. Lagipun, walaupun mesej teks boleh mencerahkan hari, tiada apa yang dapat menggantikan kemesraan perbualan sebenar dan pelukan yang mesra. Semoga hari-hari mendatang bagi warga emas akan lebih bererti teruatama menjelang Syawal yang bahagia.
Penulis adalah Profesor di Jabatan Sains Pemutusan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya