Mangsa banjir di PPS Dewan Raya Kampung Maju Jaya, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Banjir di Johor semakin pulih apabila 5,643 penduduk daripada 1,488 keluarga pulang ke rumah masing-masing sejak 8 pagi hingga 6 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, Kulai yang merekodkan 1,531 mangsa banjir daripada 460 keluarga pada 8 pagi tadi telah pulih sepenuhnya.

Beliau berkata, cuaca yang baik sejak pagi tadi menyaksikan sebanyak 47 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah terjejas banjir ditutup.

“Setakat 6 petang ini, seramai 7,446 penduduk daripada 2,261 keluarga masih ditempatkan di 48 pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih aktif di lima daerah.

“Jumlah mangsa banjir di Johor Bahru berkurangan kepada 3,658 penduduk daripada 1,209 keluarga setelah 12 PPS ditutup setakat 6 petang ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmi yang Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, jumlah mangsa banjir di Kluang berkurangan kepada 1,793 penduduk daripada 492 keluarga manakala di Pontian mencatatkan sedikit penurunan kepada 1,551 penduduk daripada 433 keluarga.

Katanya, situasi banjir di Kota Tinggi hampir pulih setelah hanya tinggal dua PPS yang masih aktif menempatkan 108 penduduk daripada 30 keluarga.

“Berbeza keadaannya di Batu Pahat apabila jumlah mangsa banjir meningkat kepada 336 penduduk daripada 97 keluarga di dua PPS,” ujarnya.

Menurutnya, data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan hanya Sungai Kahang di Kluang yang berada di paras bahaya.

“Sementara itu, tiga jalan yang masih terputus hubungan dan tidak boleh dilalui ialah Jalan Lukut Cina dan Jalan Mawai Lama di Kota Tinggi dan Jalan Jabi Bukit Tempurung (Segamat),” ujarnya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here