Pasukan Harimau Malaya menjalani latihan untuk berdepan Nepal dalam aksi pusingan ketiga Piala Asia 2027 Selasa ini.

JOHOR BAHRU – Harimau Malaya tidak boleh mensia-siakan peluang beraksi di laman sendiri dalam aksi pusingan ketiga Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di sini pada Selasa ini.

Pemain warisan, Noaa Laine berkata, beliau bertekad untuk membantu skuad kebangsaan itu dalam memastikan tiga mata berada genggaman.

Tambah pemain Selangor FC itu, di peringkat ini, Harimau Malaya tidak boleh memandang mudah mana-mana pasukan lawan walaupun mempunyai rekod pertemuan yang positif.

“Sudah tentu saya akan berusaha keras untuk menambat hati ketua jurulatih dan diletakkan dalam kesebelasan terbaik menentang Nepal nanti. Saya tekad untuk tidak menghampakan ketua jurulatih atas kepercayaan yang diberikan.

“Saya lihat, adalah penting untuk skuad kebangsaan untuk memulakan kempen dengan baik apabila mengutip tiga mata pertama. Ini akan meningkatkan keyakinan pemain dan meniup semangat juang rakan sepasukan untuk melakar lebih banyak kemenangan.

“Walaupun kita bukan tuan rumah, namun peluang bermain di laman sendiri tidak seharusnya dilepaskan begitu sahaja dan kita wajib menang perlawanan ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Laine, barisan kejurulatihan pasti menganalisis perlawanan pemanas badan antara The Gorkhalis menentang Singapura, semalam dan akan memberi input terbaik sebelum berdepan mereka, Selasa ini.

Katanya, di bawah bimbingan ketua jurulatih, Peter Cklamovski, beliau benar-benar membantu pemain untuk mencapai tahap terbaik dengan latihan berintensiti tinggi.

Tambah beliau, kehadiran Dr Graig Duncan selaku Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan banyak membantu dirinya dan rakan sepasukan bagi meningkatkan tahap kecergasan.

“Ini adalah pembaharuan dalam skuad kebangsaan kerana sebelum ini tiada dalam perancangan untuk menggunakan khidmat pakar yang akan menganalisis data setiap pemain dari aspek tahap kualiti kecergasan.

“Setiap pagi kami akan menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memantau tahap kecergasan setiap pemain malah kami akan mendapat maklum balas yang pantas sama fizikal berada di tahap terbaik,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here