PASIR GUDANG – Hospital Pasir Gudang yang dibina dengan kos lebih RM380 juta dijangka mula beroperasi pada pertengahan tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, pada masa ini, kerja-kerja pembinaan fizikal telah siap 100 peratus namun masih terdapat beberapa peralatan perubatan dan pelbagai sistem yang sedang dipasang.
“Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) juga akan menjalankan ujian ke atas semua sistem dalam tempoh terdekat bagi memastikan ia berfungsi dengan baik.
“Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) akan melakukan pemeriksaan terperinci bagi memastikan semua aspek pembinaan dan kelengkapan memenuhi piawaian teknikal, kejuruteraan serta perubatan yang ditetapkan.
“Pemasangan dan ujian sistem dijangka akan siap pada 12 Jun ini dan Hospital Pasir Gudang ini akan diserahkan kepada KKM untuk mulakan operasi secepat mungkin,” katanya dalam Facebook miliknya hari ini.
Terdahulu Tian Soon mengiringi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad melawat Hospital Pasir Gudang bagi meninjau perkembangan projek dan mendengar taklimat kemajuannya.
Hospital Pasir Gudang dibina dengan kos lebih RM380 juta dan telah memulakan pembinaannya secara rasmi sejak 2020.
Pembinaan hospital itu melalui fasa yang sukar kerana melalui tempoh pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), akhirnya hospital ini hampir siap dan bakal beroperasi tidak lama lagi.
Tian Soon berkata, hospital ini dilengkapi dengan 14 jabatan perubatan pakar, berkapasiti 304 buah katil serta peralatan moden dan persekitaran yang selesa untuk memberikan perkhidmatan berkualiti kepada pesakit.
Tambahnya, KKM juga telah memberi peruntukkan tambahan sebanyak RM81 juta bagi pembelian peralatan perubatan dan bukan perubatan untuk hospital ini.
“Setakat ini, lebih 1,845 jawatan telah diluluskan untuk Hospital Pasir Gudang, dan pihak berkuasa sedang mengatur serta menempatkan kakitangan yang diperlukan.
“Hospital ini akan beroperasi secara berfasa mengikut keperluan dan kesiap siagaan fasiliti yang ada,” ujarnya.- MalaysiaGazette