KULAI – Satu jawatan khas ditubuhkan kerajaan Johor bertujuan melaksana kaedah penyelesaian banjir di Johor ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, antaranya melihat semula peruntukkan hotspot banjir yang sudah diperuntukkan pada tahun ini.
Jelas beliau, langkah itu bagi memastikan pelaksanaan segera dan bersesuaian bagi kawasan-kawasan yang terkesan bencana banjir pada Ramadan ini, dapat dijalankan.
Pihaknya juga sudah mengarahkan 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) terutama kawasan Greater Johor Bahru untuk melihat semula keadaan parit, keperluan kolam tadahan air dan naik taraf sistem perparitan berdasarkan kejadian taburan hujan luar biasa kali ini.
“Dan hari ini di peringkat kerajaan negeri, kita telah tubuhkan jawatankuasa yang melibatkan libatkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pejabat Daerah.
“Di kawasan PBT kita memang sudah ada perancangan untuk projek hotspot banjir, jadi di peringkat daerah kita sebenarnya menerusi JPS kita kena kenal pasti hotspot banjir di kawasan bukan PBT.
“Kita ada tiga peringkat, pertama kawasan pembayar cukai dalam 16 PBT. Kedua, pejabat daerah melibatkan kampung-kampung, contohnya di Kulai, Kampung Murni Jaya, Kampung Sungai Siam yang memang ada isu banjir kerana berdekatan dengan Sungai Sayong. Ketiga, JPS kawasan jajaran sungai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025 di Dewan Bandar Putra di sini hari ini.
Menurutnya, kali ini banyak mangsa banjir tertumpu di kawasan sepanjang jajaran Sungai Skudai dan Sungai Tebrau.
“Sebab itu kita perlu melihat, sebelum ini kita fokus kepada kawasan PBT tetapi sudah sampai masa, jangka panjang kawasan kampung dan sepanjang jajaran Sungai Skudai dan Tebrau diberi perhatian,” katanya.
Mohd Jafni berkata, dalam tempoh tiga tahun bermula 2023 hingga tahun ini, sebanyak RM179 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan projek menaikkan tembok, kolam tadahan air dan naik taraf parit dalam kawasan PBT seluruh Johor.
Pada 2023 katanya, peruntukkan berjumlah RM54.87 juta telah selesai dilaksanakan membabitkan 119 kawasan hostpot banjir dengan 123 projek.
“Bagi tahun lalu, dengan peruntukkan berjumlah RM53.9 juta, 62 projek membabitkan 65 kawasan hotspot banjir telah selesai dilaksanakan manakala 40 projek sedang berjalan dan 24 projek bakal dilaksana,” ujarnya.
Pada tahun ini pula katanya, sebangak RM70.2 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan 83 projek membabitkan 37 kawasan hotspot.
“Kerjasama ini secara keseluruhannya antara kerajaan negeri dan Persekutuan, tetapi isu utamanya adalah berapa banyak peruntukan di peringkat Persekutuan kepada negeri.
“Kita mohon Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan menteri berkaitan melihat sewajarnya untuk memberi peruntukan penyelesaian isu tersebut,” tambahnya.- MalaysiaGazette