KUALA LUMPUR – Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP) dan Pengerusi HINDRAF, P Waytha Moorthy mendakwa kerajaan khilaf dalam membuat kenyataan berhubung status kuil Hindu di Malaysia.
Beliau yang menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menegaskan, dakwaan kononnya ribuan kuil Hindu yang dirobohkan sebelum ini didirikan secara haram di atas tanah persendirian adalah tidak tepat dan mengabaikan fakta sejarah.
Menurut beliau, rekod rasmi pentadbiran kerajaan Selangor dari akhir 1800-an dan awal 1900-an menunjukkan bahawa pembinaan kuil Hindu ketika itu mendapat kelulusan daripada pihak penjajah dan pemerintah tempatan.
“Perkara ini bukan hanya soal undang-undang moden tetapi juga sejarah. Kuil-kuil ini bukan didirikan secara haram, sebaliknya mendapat kebenaran eksplisit daripada Residen British yang bertindak sebagai penasihat kepada Sultan Selangor ketika itu.
Kolonial British bahkan menggalakkan pembinaan kuil Hindu bagi menarik migrasi pekerja India yang memainkan peranan penting dalam membangunkan sektor perladangan, kereta api, jalan raya dan infrastruktur Malaya,” katanya dalam surat tersebut yang kemudiannya dikongsikan kepada media.
Waytha yang merupakan mantan Menteri Perpaduan Negara sebelum ini berkata, pekerja India dijanjikan pemilikan tanah selepas dua tahun bekerja sebagai buruh kontrak, dengan setiap keluarga dijanjikan sekurang-kurangnya lima ekar tanah, ditambah satu ekar bagi setiap ahli lelaki dalam rumah tangga.
Namun, janji itu tidak pernah ditunaikan, menyebabkan masyarakat India Malaysia kekal sebagai salah satu komuniti yang paling kurang memiliki tanah sehingga kini.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Madani untuk mengiktiraf kuil-kuil Hindu yang telah wujud sebelum kemerdekaan selain menyediakan peruntukan tanah yang sewajarnya serta sumber kewangan untuk memelihara rumah ibadat tersebut.
“Malaysia adalah negara berbilang kaum dan agama. Menghormati rumah ibadat bukan Islam serta menjamin kebebasan beragama adalah asas kepada perpaduan negara ini. Kerajaan harus mengambil langkah tegas untuk mengatasi ketidakadilan sejarah ini dengan segera,” tegasnya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengingatkan semua pihak agar tidak cuba menjadi ‘jaguh’ dalam isu Kuil Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, dan menggesa penyelesaian dilakukan secara harmoni tanpa mencetuskan ketegangan kaum. -MalaysiaGazette