TANGKAP layar video seorang peniaga petai membuang jualannya selepas dilarang berniaga yang tular dalam media sosial.

KUALA LUMPUR – Kontroversi melibatkan seorang peniaga petai yang dihalang berniaga oleh penguat kuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) yang videonya tular di dalam media sosial telah diselesaikan secara baik.

Malah, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Dr. G. Rajasekaran turut memberikan ganti rugi kepada peniaga petai berkenaan, Mohd Noor Saad dalam pertemuan malam tadi.

Selain itu, menurut Rajasekaran, hasil perbincangan juga, MPPD bersetuju untuk mengeluarkan lesen sementara kepada Mohd Noor bagi membolehkannya menjalankan perniagaan secara sah.

ADUN Sri Tanjung, Dr. G. Rajasekaran bersama pengurusan MPPD ketika bertemu peniaga petai, Mohd Noor Saad malam tadi. – Foto: FB Dr. Rajasekaran

 

“Kami berharap langkah ini dapat meredakan ketegangan dan memberikan penyelesaian yang adil kepada semua pihak.

“Pihak MPPD juga akan terus memantau situasi bagi memastikan tiada lagi isu seumpama ini berlaku pada masa hadapan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menyelesaikan isu ini secara diplomasi dan mesra.

“Semoga kejadian ini dapat dijadikan pengajaran dan panduan untuk menangani isu-isu komuniti dengan lebih baik pada masa akan datang,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau malam tadi.

Terdahulu, katanya, beliau bersama Yang Dipertua MPPD, Hasnor Abd Hamid serta pegawai penguat kuasa yang terlibat dalam insiden itu yang dikenali sebagai Kamarul berkunjung ke rumah Mohd Noor malam tadi bagi menyelesaikan kejadian itu secara baik.

Kunjungan itu susulan video yang tular di dalam media sosial berkenaan tindakan seorang penjual petai membuang jualannya di atas jalan selepas didakwa tidak dibenarkan berniaga oleh penguat kuasa.

Video itu mendapat perhatian banyak pihak yang melahirkan rasa simpati terhadap peniaga petai berkenaan dan mengecam tindakan penguat kuasa berkenaan yang disifatkan tidak berperikemanusiaan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here