Para mahasiswa yang menyertai protes di beberapa bandar di Indonesia Foto AFP

JAKARTA- Protes besar-besaran berlaku di beberapa bandar utama susulan keputusan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia pada 20 Mac meluluskan pindaan kontroversi Undang-Undang Tentera Nasional Indonesia (TNI).

Pengkritik memberi amaran langkah itu berisiko membawa Indonesia kembali ke era autoritarian Orde Baru ketika di bawah pemerintahan Presiden Suharto dahulu.

Pindaan itu memberi kuasa kepada anggota tentera aktif untuk menyertai jawatan dalam institusi awam tanpa perlu bersara lebih awal.

Ini menimbulkan kebimbangan bahawa sempadan antara bidang ketenteraan dan awam bakal terhapus, sekali gus menghakis prinsip demokrasi dan penguasaan awam ke atas angkatan tentera.

Mesyuarat pleno DPR pada pagi 20 Mac menyaksikan sokongan sebulat suara terhadap pindaan itu, termasuk daripada parti-parti yang menyokong Presiden Prabowo Subianto.

Malah, Parti Demokratik Indonesia-Perjuangan (PDI-P) yang dianggap sebagai satu-satunya parti pembangkang secara de facto turut menyokong pindaan itu.

Media-media tempatan melaporkan, protes itu dianjurkan oleh Badan Eksekutif Mahasiswa Seluruh Indonesia (BEM SI) yang mewakili pelajar dari seluruh negara. Mereka menuntut pembatalan pindaan dan pemisahan mutlak TNI daripada bidang awam.

“Kami akan terus turun ke jalan sehingga tuntutan rakyat didengar dan dihormati,” tegas Rasyid, penyelaras BEM dari Universiti Gadjah Mada.

Ketegangan meningkat apabila segelintir peserta protes membakar tayar dan cuba merempuh pagar DPR yang dikunci. Sebuah pos keselamatan turut dirosakkan.

Lebih 5,000 anggota polis dan tentera, termasuk kenderaan perisai dan meriam air, dikerahkan untuk mengawal keadaan.

Selain Jakarta, protes turut meletus di Yogyakarta, Surabaya, Makassar dan Surakarta.

Mahasiswa dan aktivis tempatan menyuarakan kebimbangan yang sama, iaitu penolakan terhadap ‘militerisme baharu’ di bawah pentadbiran Presiden Prabowo, bekas jeneral yang kini dilihat memperluas pengaruh tentera dalam pelbagai program pemerintah.

Pindaan ini turut dikritik kerana digubal secara tergesa-gesa dan tidak telus.

Perbincangan akhir antara ahli Parlimen dan wakil pemerintah dikatakan berlangsung secara tertutup di sebuah hotel mewah di Jakarta, mencetuskan kemarahan masyarakat sivil.

“Ironi apabila pada tahun 2025, kita masih terpaksa menuntut ruang penyertaan awam dalam proses penggubalan dasar,” kata Titi Anggraini, pakar undang-undang dari Universiti Indonesia.

Katanya, ia bukan sekadar soal undang-undang tetapi soal demokrasi dan masa depan kedaulatan awam serta suara rakyat, yang kini bagaikan diketepikan.

Pindaan itu diluluskan hanya sebulan selepas Prabowo menghantar surat rasmi kepada Parlimen bagi mempercepatkan perbincangan undang-undang tersebut.

Penyelidik kanan Pemantau Hak Asasi Manusia (HRW), Andreas Harsono, menyifatkan langkah itu sebagai ‘kemunduran besar terhadap prinsip hak asasi manusia’.

“Prabowo seolah-olah bertekad mengembalikan peranan TNI dalam pentadbiran awam – sesuatu yang sebelum ini terkenal dengan penyalahgunaan kuasa dan kekebalan undang-undang.

“Tindakan terburu-buru kerajaan ini bertentangan dengan komitmen mereka terhadap kebertanggungjawaban dan hak asasi manusia,” tegasnya. – AGENSI

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here