KUALA LUMPUR – Malaysia Corruption Watch (MCW) tampil mempertahankan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sambil menolak dakwaan badan itu bertindak atas tekanan politik.
Menurut Presiden MCW, Jais Abdul Karim, SPRM menjalankan tugasnya berdasarkan undang-undang bukan mengikut kehendak mana-mana pihak.
Ini susulan kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang sebelum ini mendakwa SPRM telah ‘menjatuhkan’ hukuman terhadap Ismail Sabri melalui media sebelum kes dibawa ke mahkamah.
Kata Jais, SPRM seperti agensi penguatkuasaan lain termasuk polis, mempunyai kuasa budi bicara dalam menentukan seseorang sebagai suspek berdasarkan bukti yang diperoleh.
“Istilah ‘suspek’ tidak bermaksud seseorang itu telah ditahan atau didakwa. Sebaliknya ia bermaksud siasatan mendapati ada asas kukuh untuk tindakan lanjut.
“Dalam kes-kes sebelum ini seperti Datuk Seri Najib Razak dan Lim Guan Eng, mereka hanya ditahan selepas kertas siasatan lengkap dan pihak pendakwaan bersetuju untuk mendakwa mereka di mahkamah,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas dakwaan SPRM kendali siasatan Ismail Sabri secara media trial, beliau berkata, sebarang pendedahan maklumat kepada media adalah sebahagian daripada prinsip ketelusan dan bukan bertujuan menjatuhkan sesiapa.
“SPRM perlu memastikan rakyat memahami perkembangan siasatan, selagi ia tidak mengganggu integriti kes. Tuduhan bahawa SPRM telah menjatuhkan hukuman ke atas Ismail Sabri sebelum mahkamah membuat keputusan adalah tidak tepat, kerana proses pendakwaan tetap berada di bawah kuasa Pejabat Peguam Negara,” tegasnya.
Dalam pada itu, Jais juga mengingatkan bahawa setiap siasatan adalah unik dan tidak boleh dibandingkan berdasarkan sentimen politik.
“Jika ada pihak yang tidak berpuas hati dengan prosedur SPRM, ia sepatutnya dibangkitkan melalui saluran rasmi seperti di Parlimen atau menerusi tindakan undang-undang, bukan dengan membuat kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat,” ujar.
Sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan isu rasuah, MCW menegaskan, sokongan penuh kepada SPRM dalam menjalankan tugas secara profesional dan bebas daripada pengaruh mana-mana pihak.
“Kritikan tidak berasas terhadap SPRM hanya akan melemahkan institusi penguatkuasaan dan menjejaskan usaha membanteras rasuah,” tambahnya. – MalaysiaGazette