KUALA LUMPUR- Menteri Kerja Raya menafikan laluan seksyen 4A Lingkaran Tengah Utama (LTU) membabitkan sebahagian jalan Raub-Kuala Lipis- Gua Musang dan Gua Musang- Kuala Lipis-Raub, akan dibuka dalam masa terdekat.
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menegaskan, projek seksyen 4A LTU itu masih dalam peringkat pembinaan dan dijangka siap menjelang 26 Ogos tahun ini.
“Saya memahami keterujaan pengguna jalan raya untuk menggunakan laluan baharu ini terutama ketika pulang berhari raya nanti, bagaimanapun jangan menyebarkan maklumat yang tidak sahih.
“Penyebaran berita yang tidak sahih seumpama ini boleh mengundang bahaya dan merisikokan keselamatan pengguna jalan raya.
“Sudah tentunya saya juga berharap laluan ini dapat dibuka dalam tempoh masa yang ditetapkan untuk keselesaan semua pengguna jalan raya terutama rakyat Pahang dan Kelantan yang berada di perantauan.
“Namun, bagi memastikan keselesaan dan keselamatan semua pengguna jalan raya, saya memohon semua pihak bersabar agar laluan ini dapat disiapkan dengan sempurna dan terbaik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Tambah beliau, kemajuan proses pembinaan laluan tersebut sudah mencapai 83.21 peratus.
Terdahulu, terdapat video tular di platform TikTok mendakwa Seksyen 4A LTU yang membabitkan jalan Raub-Kuala Lipis- Gua Musang dan Gua Musang- Kuala Lipis-Raub atau yang digelarkan warga net sebagai Lebuhraya Raub-Lipis bakal dibuka menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi. -MalaysiaGazette