KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman seorang lagi ejen yang dipercayai menerima rasuah bagi mempercepatkan proses pemeriksaan kenderaan tanpa mengikut peraturan yang sah.
Perintah reman tersebut telah dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Assayidatun Najwa Muhammad Nasution selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.
Tempoh reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 25 Mac nanti.
Menurut sumber, suspek iaitu lelaki berusia lingkungan 30-an itu telah menerima rasuah kira-kira RM40,000 daripada pemilik kenderaan yang ingin mendapatkan nombor giliran bagi pemeriksaan kenderaan di pusat pemeriksaan berkenaan.
“Tangkapan dijalankan SPRM dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) semalam.
“Siasatan turut melibatkan beberapa individu lain yang dipercayai terlibat dalam sindiket ejen mempercepatkan proses pemeriksaan tanpa mengikut peraturan sah.
“Suspek telah ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya kira-kira pukul 4 petang semalam,” katanya.
Sumber turut memaklumkan maklumat daripada Bahagian Penguat Kuasa JPJ mendapati beberapa individu telah menyalahgunakan sistem tempahan pemeriksaan Puspakom dengan membuat tempahan secara pukal menggunakan nombor kenderaan yang rawak.
Modus operandi individu terbabit adalah menawarkan tarikh tempahan yang telah dibuat kepada pelanggan dengan bayaran ratusan ringgit bagi setiap slot pemeriksaan sebelum menjadualkan semula tarikh bagi membolehkan permohonan baharu dimasukkan ke dalam sistem.
Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya, Azizul Ahmad Sarkawi, ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan tersebut dan memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette