KUANTAN – Dua pelajar pondok Haji Bakri di Chenor maut setelah kereta dinaiki terbabas di Jengka 23, hari ini.
Ketua Polis Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, dalam insiden jam 1.20 tengah hari itu, kedua-dua mangsa yang maut merupakan penumpang kenderaan yang dipandu guru pondok berusia 75 tahun.
Mangsa pertama Mohd Rahinuddin Ibrahim, 55, merupakan penumpang duduk di bahagian belakang disahkan maut di lokasi nahas manakala mangsa kedua, Abz Aziz Othman, 74, penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di Hospital Temerloh ketika menerima rawatan.
“Bagaimanapun guru pondok berkenaan terselamat dan mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Jengka untuk menerima rawatan.
“Siasatan awal yang dijalankan mendapati kemalangan berlaku semasa kenderaan di pandu guru pondok itu dalam perjalanan dari Pondok Haji Bakri, Chenor menghala ke Jengka 21.
“Apabila perjalanan sampai di tempat kejadian pemandu telah hilang kawalan lalu terbabas ke dalam cerun di sebelah kanan dan melanggar pokok,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Wong Kim berkata, hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku di atas kecuaian pemanduan warga emas itu yang gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.
Kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette