KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran seramai 39 pegawai kanannnya berkuat kuasa 21 April depan.
Setiausaha PDRM, Datuk Kamaruzaman Abdullah berkata, pertukaran itu melibatkan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Pahang.
Sementara tempatnya iaitu Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, akan digantikan Timbalan Pengarah Siasatan / Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad.
“Turut bertukar Ketua Penolong Pengarah E9, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Aida Abdul Hamid bertukar ke Ketua Penolong Pengarah E6, Cawangan Khas Bukit Aman.
“Manakala Ketua Penolong Pengarah E3, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Mohd Hairuddin Che Hamid bertukar ke Ketua Penolong Pengarah E7, Cawangan Khas Bukit Aman.
“Ketua Penolong Pengarah E6, Cawangan Khas Bukit Aman, Deputi Komisioner (DCP) Azhar Sepawi pula dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah E3, Cawangan Khas Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Kamaruzaman, Ketua Penolong Pengarah (D5) Pendakwaan / Undang-Undang, JSJ Bukit Aman, Datuk Mohamad Zainal Abdullah dinaikan pangkat Timbalan Pengarah Siasatan / Perundanga JSJ Bukit Aman dengan memangku pangkat Deputi Komisioner (DCP).
“Senior Asisten Komisioner (SAC), Abdul Latiff Mehat memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah D14 Siasatan Jenayah Terancang JSJ Bukit Aman, dilantik menjadi Timbalan Ketua Polis Johor dengan memangku pangkat DCP.
“Timbalan Pengarah (Kewangan / Perolehan / Kepolisan Am) Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, SAC Shamsul Amar Ramli dilantik menjadi Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman,” jelasnya.
Sementara itu, beliau juga memaklumkan seramai 31 lagi pegawai kanan ada yang dinaikkan pangkat ke SAC, Asisten Komisioner Polis (ACP) dan Superitendan selain bertukar ke jawatan yang baharu. – MalaysiaGazette