Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

KUALA LUMPUR – Tindakan Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP), P Waytha Moorthy mendesak kerajaan menunaikan janji penjajah British kepada kaum India menimbulkan persoalan.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla mempersoalkan sama ada masyarakat tersebut pernah mendesak dan membuat tuntutan kepada penjajah British terhadap janji yang ditaburkan kepada kaum India ketika era penjajahan.

“Adakah kaum minoriti India beragama Hindu pada masa itu telah menuntut perkara itu untuk dilaksanakan oleh penjajah British pada tahun 1900, 1910, 1920 atau mana-mana tahun?

“Adakah perkara itu dibangkitkan sebagai satu tuntutan oleh golongan minoriti India yang beragama Hindu semasa perbincangan kemerdekaan, gubalan undang-undang oleh Lord Reid, tidak?

“Kenapakan perkara itu tidak dibangkitkan pada tahun 1950-an, kenapa kini dibangitkan apa yang pihak ‘golongan tertentu’ cuai, untuk tuntut pada masa yang perlu?” soalnya.

Beliau mengulas kenyataan Waytha Moorthy antara lain mengungkit  pekerja India dijanjikan pemilikan tanah selepas dua tahun bekerja sebagai buruh kontrak dengan setiap keluarga dijanjikan sekurang-kurangnya lima ekar tanah ditambah satu ekar bagi setiap ahli lelaki dalam rumah tangga.

Namun, janji itu menurut Waytha Moorthy tidak pernah ditunaikan menyebabkan masyarakat India Malaysia kekal sebagai salah satu komuniti yang paling kurang memiliki tanah sehingga kini.

Sehubungan itu, Waytha Moorthy menggesa kerajaan Madani untuk mengiktiraf kuil-kuil Hindu yang telah wujud sebelum kemerdekaan selain menyediakan peruntukan tanah yang sewajarnya serta sumber kewangan untuk memelihara rumah ibadat tersebut.

Menurut Mohamed Haniff Khatri, sebagai peguam, Waytha Moorthy arif mengenai prinsip acquiescence waiver.

“Dalam undang-undang ada prinsip acquiescence waiver iaitu hak jika pun wujud  akan dianggap diabaikan jika tidak dituntut pada tempoh masa yang perlu

“Semestinya 2025 adalah satu tempoh masa yang amat melampau untuk mengungkit perkara berdasar kepada janji-janji palsu penjajah British dulu,” tegasnya.

Mohamed Haniff Khatri berkata, adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak memain peranan sebagai mangsa minoriti untuk meminta ihsan terhadap sesuatu yang didakwa sebagai hak namun dilakukan secara tidak sah dan tidak mematuhi undang-undang negara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here