KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mencadangkan agar isu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di bawa ke mahkamah dan diselesaikan secara adil.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu, negara mempunyai undang-undang yang perlu dipatuhi oleh semua pihak.
“Kita ni negara yang ada undang-undang, jadi jangan kita pusing sana pusing sini, bawa ke mahkamah dan selesaikan secara adil di mahkamah. Negara ada undang-undang maka hormatilah undang-undang tersebut. Fullstop!” tegasnya.
Beliau mengulas kenyataan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran yang mempersoalkan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjual tanah kepada Jakel tanpa berbincang dengan pengurusan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.
Dr. Muhamad Akmal berkata, sebagai pemilik tanah yang sah tidak wajar untuk menggesa DBKL berbincang dan mencapai persetujuan dengan pihak kuil sebelum penjualan dibuat.
Pemimpin UMNO itu turut mempersoalkan kecuaian pihak kuil untuk berunding dan membeli tanah berkenaan sehingga transaksi sah berlaku antara DBKL dan Jakel.
“Tanah milik DBKL nak jual kena beritahu pada orang yang menumpang atas tanah DBKL sendiri?
“Kalau kata sudah ada di situ selama 130 tahun, kenapa tiada langsung pihak pengurusan kuil datang berjumpa dengan DBKL menyatakan hasrat untuk membeli atau menyewa tanah tersebut?
“Ini tuan tanah yang dipersalahkan apabila nak jual tanah mereka sendiri,patut orang yang menumpang atas tanah lah yang tanya tuan tanah nak jual ke apa?” soal beliau.
Dalam sidang media semalam, Vigneswaran mempersoalkan penjualan tanah terbabit kepada Jakel tanpa berbincang dengan pihak kuil serta mengambil tindakan mengalihkannya.
Beliau berkata, kuil berkenaan telah wujud dan dibina di sebelah lapan buah kedai pada tahun 2008.
“Ini bukan lot percuma. Kuil ini wujud, saya agak hairan bagaimana DBKL boleh menjual tanah ini kepada pihak lain dan Jakel memang beli tanah itu mengetahui bahawa wujud kuil tersebut itu yang pelik.
“Hari ini keluar (isu) masjid dan isu sensitif supaya orang boleh dikelirukan. Ini bukan isu. Isunya ialah bila mereka memohon tanah itu memang ada kuil. Pihak pembeli tahu, pihak DBKL juga tahu.
“Tapi yang hendak kita cakap, kalau betul-betul you nak jual DBKL sepatutnya datang berbincang dan mengalihkan kuil tersebut. Beri tanah kosong,” kata Vigneswaran.- MalaysuaGazette