Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Gabungan Pegawai Perubatan Malaysia menggesa Kemeterian Kesihatan (KKM) mengekalkan keputusan pemilihan penempatan (ePlacement) melibatkan 2,245 calon pegawai perubatan yang dibuat pada 27 Februari lalu.

Selain itu, gabungan tersebut dalam satu kenyataan menggesa KKM menggantikan semula cuti yang telah digunakan oleh pegawai perubatan pada 27 Februari lalu serta 17 Mac lalu untuk memohon ePlacement yang dibatalkan serta ditangguhkan.

Dalam masa sama, katanya, KKM juga perlu memberikan penjelasan lebih lanjut berhubung sistem merit yang bakal dilaksanakan serta memastikan ketelusan dalam penyediaan data mengenai keperluan dan kekosongan penempatan Pegawai Perubatan di setiap fasiliti KKM.

“Selain itu, KKM juga perlu melaksanakan sistem baharu untuk kohort yang akan datang dan bukan kohort semasa.

“Kami tidak mahu dijadikan bahan ujian bagi sistem baharu yang dibangunkan secara tergesa-gesa. Sistem ini perlu diteliti dan dikaji dengan mendalam sebelum digunakan,” kata kenyataan itu semalam.

Sebelum ini, pegawai perubatan meluahkan rasa kecewa apabila keputusan permohonan ePlacement mereka pada 27 Februari lalu dibatalkan, manakala permohonan semula yang sepatutnya dibuat pada 25 hingga 27 Mac lalu ditangguhkan.

KKM dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan, sistem ePlacement itu mengalami gangguan teknikal selama satu jam 30 minit menyebabkan kesilapan dalam pemilihan penempatan pegawai perubatan, sekali gus menjejaskan agihan yang telah ditetapkan.

Sementara itu, kenyataan tersebut menambah, KKM juga perlu melibatkan pegawai perubatan dalam sebarang perancangan sistem baharu yang akan dibangunkan kelak.

Dalam masa sama, ujarnya, para pegawai perubatan yang berpindah ke Sabah dan Sarawak juga perlu diberikan elaun perpindahan demi menjaga kebajikan mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast