Gula-gula kenyal yang popular di seluruh dunia, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak terus menjadi isu susulan pendedahan mengenai status halalnya.
Rata-rata pengguna khususnya umat Islam bimbang ekoran makanan ringan itu berleluasa dijual di pasaran terbuka.
Menurut sumber, permintaan yang semakin meningkat terhadap gula-gula kenyal di Malaysia didorong oleh pasaran dalam talian serta pengaruh media sosial.
Walaupun produk ini semakin popular, memastikan integriti halal gelatin yang digunakan dalam penghasilannya masih menjadi cabaran.
Hal ini disebabkan oleh ketidak konsistenan dalam piawaian antarabangsa serta kekurangan proses verifikasi yang ketat bagi produk import.
Kebangkitan pasaran dalam talian telah merumitkan lagi proses pengesahan halal bagi gula-gula kenyal dan marshmallow.
Produk import mungkin mempunyai pensijilan halal dari negara asal mereka seperti China, Indonesia atau Thailand.
Namun, tidak semua sijil halal ini diiktiraf oleh pihak berkuasa Malaysia seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).
Situasi ini menimbulkan risiko kepada pengguna Muslim kerana ketulenan dan keaslian pensijilan halal tersebut tidak dapat dipastikan sepenuhnya.
Produk import yang dijual dalam talian sering memintas proses pensijilan halal yang ketat, sekali gus meningkatkan risiko produk tidak halal sampai kepada pengguna Muslim.
Kajian yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2017, 2022 dan tahun lalu mendedahkan bahawa 75 peratus marshmallow di pasaran tempatan mengandungi gelatin yang tidak halal.
Hal ini menimbulkan kebimbangan serius mengenai status halal gula-gula kenyal yang dijual di Malaysia, terutamanya produk yang diimport melalui platform dalam talian.
Banyak gula-gula kenyal import tidak melalui proses pensijilan halal yang ketat seperti yang ditetapkan oleh Jakim dan DVS.
Gelatin merupakan bahan paling kritikal yang menimbulkan persoalan dan keraguan secara langsung terhadap keaslian halal sesuatu produk siap.
Oleh itu, pendekatan yang lebih ketat dan berhati-hati diperlukan dalam membenarkan gelatin atau mana-mana produk yang mengandungi gelatin memasuki pasaran Malaysia.
Pakistan merupakan pemain utama dalam industri kulit global dengan nilai eksport mencecah AS$1 bilion.
Akibatnya, sebahagian besar gelatin yang dihasilkan di Pakistan berasal daripada sisa kulit haiwan yang diperoleh menerusi teknik penyamakan kulit yang berisiko.
Beberapa pemeriksaan mendapati bahawa semua kilang gelatin berasaskan kulit di Pakistan gagal memenuhi keperluan pematuhan halal disebabkan oleh pencemaran silang bahan mentah serta kelemahan dalam penyimpanan rekod.
Salah satu sebab utama kegagalan Pakistan dalam mendapatkan pensijilan halal adalah kerana pengeluar gelatin di negara itu sering menggunakan lebihan kulit dan kulit penuh menerusi teknik penyamakan kulit yang berisiko, yang sebenarnya tidak bertujuan untuk pengeluaran makanan.
Amalan ini menyebabkan campuran kulit dari pelbagai sumber, sekali gus menyukarkan pengesahan asal usulnya.
Oleh itu, tiada kriteria khusus yang ditetapkan untuk menentukan status halal bahan mentah tersebut.
Walaupun merupakan pengeksport utama, industri ini masih belum menyesuaikan diri dengan keperluan pasaran makanan halal global.
Akibatnya, penggunaan bahan mentah yang meragukan dalam pengeluaran gelatin terus berleluasa, yang menjelaskan kekurangan pemantauan ketat terhadap pematuhan halal bagi sebarang kulit import yang memasuki industri ini.
Dalam perbincangan terbuka, pemain industri makanan mendedahkan trend jualan dalam talian yang semakin berkembang telah menyukarkan pemantauan pematuhan halal, terutamanya bagi produk yang diimport dari negara-negara tertentu.
Isu ini menjadi lebih rumit kerana JAKIM dan DVS lebih menumpukan perhatian kepada pengilang tempatan, sekali gus menyebabkan produk import menjalani pemeriksaan yang kurang ketat.
Walaupun JAKIM telah berusaha secara signifikan untuk mengekalkan piawaian halal, penguatkuasaan dan pemantauan yang lebih ketat diperlukan bagi memastikan integriti halal produk import yang dijual dalam talian terpelihara.
Bagi menangani cabaran ini, perlu ada satu penegasan penguatkuasaan kerajaan yang lebih ketat serta meningkatkan kerjasama antara agensi kawal selia, pengeluar, dan platform e-dagang.
Dalam masa sama, pemain industri makanan negara turut melontarkan cadangan agar ditubuhkan kilang gelatin halal tempatan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import yang status halalnya tidak menentu.
Dalam masa sama, pakar industri tempatan dan usahawan tempatan turut mencadangkan sudah tiba masanya untuk Malaysia menghasilkan gelatin halal sendiri, supaya risiko dan kebergantungan kepada gelatin kulit tidak halal dari negara luar dapat dikurangkan.
Jika diperhalusi, terdapat syarikat penghasilan makanan terbesar dalam negara komited menggunakan gelatin yang diperakui halal, diperoleh daripada pembekal yang telah diaudit oleh JAKIM dan DVS, bagi memastikan produk mereka mematuhi standard halal yang ketat.
Syarikat sebegini biasanya menganjurkan lawatan tapak bagi mengesahkan bahawa bahan mentah yang digunakan benar-benar halal, sekali gus memastikan pengguna menerima produk yang selamat dan boleh dipercayai.
Dengan pertumbuhan pesat pasaran dalam talian, memastikan status halal gula-gula kenyal dan produk makanan ringan berasaskan gelatin semakin mencabar.
Dengan memperketatkan penguatkuasaan, meningkatkan kebolehkesanan, dan menyokong pengeluaran gelatin halal tempatan, Malaysia dapat melindungi pengguna Muslim dengan lebih berkesan daripada produk yang tidak halal.
Oleh Zarul Hafiz
Penulis adalah pempengaruh media sosial dan Ketua Unit Pendidikan Awam Persatuan Legasi Komuniti Progesif