Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour ketika bercakap pada sidang akhbar berkenaan Laporan Tahunan Bank Negara 2024 di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 24 MAC 2025.

KUALA LUMPUR – Permintaan domestik yang kukuh terus menjadi penampan kepada ekonomi Malaysia dalam menghadapi cabaran luar termasuk serangan balas daripada negara-negara yang dikenakan tarif oleh Amerika Syarikat.

Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, penggunaan swasta akan menjadi pemangkin kepada prospek pendapatan tinggi, disokong oleh pasaran buruh yang semakin baik serta situasi kewangan isi rumah yang sihat.

”Kedudukan kita kukuh. Kita mempunyai permintaan domestik yang kukuh dan ini akan terus menyokong pertumbuhan.

”Manakala pelaburan swasta yang dipacu pelaburan bernilai tinggi dan dalam masa sama kadar realisasi tinggi pelaburan yang telah diluluskan bakal merangsang pertumbuhan ekonomi negara,” katanya semasa sidang media selepas pelancaran laporan utama BNM, di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai aliran keluar pelaburan asing daripada pasaran tempatan beberapa hari kebelakangan ini, beliau berkata, ia merupakan reaksi jangka pendek terhadap pertumbuhan pasaran yang tidak menentu.

Jelas beliau, tindakan itu mungkin disebabkan oleh reaksi kepada beberapa pengumuman berhubung perubahan dasar serta sekatan perdagangan yang dibuat Amerika Syarikat.

Tambahnya, aliran masuk jangka panjang masih positif namun buat masa ini, negara perlu berdepan dengan ketidaktentuan global.

Ekonomi Malaysia diramal berkembang di antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus tahun ini didorong oleh permintaan domestik yang kukuh. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast