KUALA LUMPUR – Akibat tidak memiliki lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh, seorang remaja nekad melarikan diri daripada sekatan jalan raya di Kilometer 7.3 Lebuh Raya Kemuning – Shah Alam (LKSA), Persiaran Sultan, Seksyen 14, Shah Alam baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya telah mengesan rakaman video tular itu memaparkan suspek berusia 17 tahun menunggang motosikal jenis Modenas Kriss pada 8 Mac lalu.
“Kejadian berlaku sekitar pukul 9 malam ketika polis mengadakan sekatan jalan raya di lokasi itu, tiba-tiba suspek bertindak membuat pusingan U secara berbahaya bagi mengelak melalui sekatan tersebut.
“Anggota Unit Rondaan Bermotorsikal (URB) yang sedang membuat pemantauan cuba menahan motosikal itu yang melawan arus dengan memintanya berhenti tetapi tidak diendahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Iqbal, suspek bertindak menyeberangi jalan menaiki pembahagi jalan secara berbahaya dan dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux hingga dia terjatuh serta mengalami kecederaan.
“Suspek kemudian dibawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut dan semakan mendapati dia mengalami kecederaan patah paha kiri, bahu kiri serta bahu kanan dan masih ditahan wad hingga kini,” katanya.
Siasatan lanjut mendapati, dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan kes terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 186, Seksye 279 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 43(1) AKta Pengangkutan Jalan 1987.
Mohd Iqbal turut menasihati orang ramai agar memastikan keselamatan jalan raya serta mematuhi peraturan lalu lintas yang telah ditetapkan.
Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Inspektor S. Vemal di talian 011-392 16101 atau Inspektor Nur Iqmal Maisarah binti Azman di talian 017-283 6851. – MalaysiaGazette