KUANTAN – Para peniaga di negeri ini dilarang berniaga di bahu jalan bagi memastikan aspek keselamatan kepada peniaga dan pengguna jalan raya dijaga.
Exco Kerja Raya, Kesihatan dan Pengangkuan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, larangan berkenaan bagi mengelakkan risiko kemalangan memandangkan kadar kenderaan meningkat pada musim perayaan ketika ini.
“Kami ingin mengingatkan para peniaga agar tidak berniaga di tepi jalan atas faktor keselamatan,
”Lebih-lebih lagi pada waktu ini sekarang apabila jumlah kenderaan banyak, sebarang aktiviti perniagaan di bahu jalan boleh mengundang bahaya,” katanya.
Tegas Razali, pihaknya akan mengambil tindakan tegas bagi mengekang berniaga di kawasan yang mendatangkan bahaya.
Terdahulu tular video memaparkan seorang peniaga mengamuk apabila sekumpulan pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan kerana berniaga di atas rizab jalan di Jalan Persekutuan FT0008 (Bentong-Gua Musang) dalam Ops Nangka pada semalam.
Bagaimanapun, netizen turut melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna jalan raya yang lain. – MalaysiaGazette