PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan sebentar tadi menolak bantahan awal Datuk Seri Najib Razak untuk membatalkan permohonan Peguam Negara mendapatkan kebenaran merayu berkaitan titah adendum.
Sehubungan itu, panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim meneruskan prosiding dengan mendengar hujahan kedua-dua pihak dalam permohonan kebenaran merayu.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah sebulat suara memutuskan demikian selepas menolak bantahan awal peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Ketika menyampaikan keputusan itu, Hakim Hasnah berkata, Peguam Negara mengemukakan tujuh persoalan undang-undang bagi menyokong permohonan kebenaran merayu.
Ujar hakim berkenaan, persoalan undang-undang tersebut mempunyai kaitan dengan permohonan Najib mengemukakan bukti baharu pada pendengaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.
Panel itu berpendirian, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti kemudian membenarkan permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu tersebut.
“Pada dasarnya, keputusan majoriti Mahkamah Rayuan akhirnya melupuskan hak pihak-pihak berkenaan, yang mana bukti baharu dikemukakan di Mahkamah Tinggi ketika prosiding semakan kehakiman.
“Oleh yang demikian, keputusan Mahkamah Rayuan itu menepati tafsiran Seksyen 3 Akta Mahkamah Mahkamah Kehakiman (CoJA),” ujar Hakim Hasnah.
Terdahulu, Muhammad Shafee membantah kebenaran merayu yang dikemukakan Peguam Negara, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar atas alasan permohonan itu merupakan perkara interlokutori yang tidak boleh dirayu.
Hujah beliau, permohonan kebenaran merayu itu tidak kompeten dan wajar ditolak melainkan ia disertakan dengan alasan yang munasabah.
Sementara itu, Mohd. Dusuki turut membantah terhadap bantahan awal tersebut atas alasan pihaknya tidak seharusnya dihalang untuk mendapatkan kebenaran merayu pada peringkat ini.
Hujah Peguam Negara, pihaknya mempunyai tujuh persoalan undang-undang untuk dikemukakan dan hak mereka tidak wajar disekat.
Peguam Negara memohon kebenaran untuk mengetepikan keputusan majoriti Mahkamah Rayuan yang mengembalikan semakan kehakiman berkaitan titah adendum ke Mahkamah Tinggi.
Pada 6 Januari lalu, panel tiga hakim bersidang membenarkan bekas Perdana Menteri mencabar kewujudan titah adendum bagi membolehkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dalam tahanan rumah.
Najib memfailkan semakan kehakiman dalam usaha memaksa kerajaan dan enam yang lain mengesahkan kewujudan titah berkenaan yang didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16. – MalaysiaGazette