Mohamed Haniff Khatri Abdulla

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran supaya mewujudkan satu rang undang-undang (RUU) bagi meregularisasi, menyelia, memantau serta pelaksanaan perundangan berhubung pembinaan dan pengurusan rumah-rumah anutan bukan Islam.

Peguam berpengalaman, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, ketika ini pemantauan dan penyeliaan rumah ibadat Islam terletak di bawah bidang kuasa negeri manakala rumah ibadat bukan Islam terletak di bawah Persekutuan.

“(Melalui RUU) Semua bentuk rumah anutan selain Islam mempunyai tatacara, permohonan lesen pembangunan, pemberian hak jika hak itu sah untuk diberi. Itu akan menentukan semua rumah anutan yang masih wujud dapat dikenal pasti dan diselenggara di bawah akta lebih teratur.

“Saya harap pihak berkuasa, ahli politik, ahli Parlimen dapat meneliti perkara ini dan dapatkan pandangan daripada pakar perundangan dan agama yang ada di Malaysia, menentukan perkara ini (isu kuil) ditangani sesegera mungkin,” katanya dalam video di media sosialnya malam tadi.

Menurut Mohamed Haniff, RUU itu dapat menyelesaikan isu berbangkit seperti pembinaan kuil di tanah milik pihak lain.

Tambahnya, ketika ini hanya Pulau Pinang mempunyai udang-undang untuk mengawal dan menyelia kuil Hindu di bawah Akta Wakaf Hindu 1906.

“Akta tersebut masih berkuatkuasa untuk satu undang-undang yang wujud sebelum merdeka dan masih berkuatkuasa di Pulau Pinang.

“Di situ, saya percaya terdapat satu majlis di bawah enakmen yang mengatur cara rumah-rumah anutan Hindu di Pulau Pinang dan masalah seperti ini telah lama berkurangan di negeri ini.

“Mengambil contoh perkara itu kerajaan pusat boleh mewujudkan satu undang-undang untuk satu Malaysia,” katanya.

Mohamed Haniff Khatri berkata, kuil Hindu akan terus menjadi isu jika tidak ditangani kerana terdapat beratus rumah ibadat penganut itu yang berada dalam status ‘pencerobohan’ di tanah milikan swasta, kerajaan negeri dan pusat.

Tambahan menurut beliau, RUU itu juga penting bagai memastikan rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Selangor pada 2018 hingga mengorbankan seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim tidak berulang.

Rusuhan berlaku berikutan terdapat ura-ura kuil yang terletak di tanah milik One City Development Sdn Bhd mahu dirobohkan pemaju. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here