IPOH – Masjid Muhammadiah atau lebih dikenali Masjid Cina yang terletak di Taman Tasek Jaya berjaya mengumpulkan kira-kira 1,200 peserta program World #QuranHour 2025 yang berlangsung hari ini.
Program yang masuk satu dekad ini berjalan serentak di seluruh negara serta luar negara dan membawa tema #SavingTheUmmah dengan berpandukan Surah al-Saff (Barisan) yang menekankan kepentingan kesatuan ummah dalam memperjuangkan agama Allah SWT.

Pengerusinya, Datuk Dr Fadzli Cheah Abdullah berkata, setiap tahun pihaknya akan mengadakan program tersebut tetapi pada kali ini penganjurannya adalah dalam skala yang terbesar pernah diadakan di masjid berkenaan.
Menurutnya, pada kali ini masjid berkenaan bekerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk) untuk menjayakan program tersebut.

“Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program ini berlangsung. Pagi ini, kita ada menjemput Penceramah Khas, Datuk Dr Zahazan Mohamed yang juga Pengarah Urusan Telaga Biru Sdn Bhd untuk menyampaikan ceramah.
“Kemudian, acara kemuncak bacaan al-Quran Surah al-Saff (surah ke-61, 14 ayat) di bawah pimpinan Pengurus Pendidikan Semat Q, Ustaz Mohd Shafiq Abu Hasan yang sebelum itu turut membaca doa.

“Mesej yang kita dapat daripada ceramah dan bacaan doa itu adalah supaya mengingatkan kita sebaik-baik manusia adalah mereka yang mempelajari al-Quran dan mereka yang mengajar al-Quran juga penting,“ katanya.
Beliau ditemui pada sidang media selepas program tersebut tamat sekitar jam 1.30 petang tadi.

Isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Aezer Zubin dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah turut hadir serta menyertai aktiviti membaca al-Quran pada program itu.
Untuk rekod, program World #QuranHour berjaya mencapai capaian media sosial sebanyak 7.89 bilion dan melibatkan lebih daripada 10,000 lokasi di Malaysia serta 313 lokasi di luar negara. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Perak berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran peringkat negeri
Jogathon Kebudayaan Masjid Jamek Cina Di Klang Eratkan Hubungan Masyarakat