GEORGE TOWN – Kira-kira 2.6 juta kenderaan dijangka memasuki Pulau Pinang sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini melalui Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Jalan Persekutuan.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, jumlah tersebut berdasarkan jangkaan aliran trafik menerusi Op Selamat 24 sempena Aidilfitri bermula 29 Mac hingga 3 April depan.
“Kita jangkakan 2.6 juta kenderaan bukan sahaja disebabkan rakyat Pulau Pinang yang pulang ke kampung halaman, malah turut melibatkan pengguna dari negeri lain yang menggunakan laluan negeri ini sebagai transit.
“Pulau Pinang berada di tengah-tengah antara Kedah dengan Perak jadi kita jangkakan aliran trafik tinggi di beberapa kawasan khususnya lebuh raya yang menghubungkan tiga negeri ini.

“Selain itu, seramai 331 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan bertugas sepanjang tempoh Op Selamat 24,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pehimpunan Sambutan Peringatan Hari Polis ke-218 peringkat Kontijen Pulau Pinang di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama Mohd Alwi turut memaklumkan hanya 10 peratus daripada kira-kira 6,700 anggota dan pegawai polis bagi Kontinjen Pulau Pinang yang dibenarkan bercuti bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini.
Katanya, penguatkuasaan dan pemantauan termasuk melibatkan Op Selamat dan Ops Pencegahan Jenayah akan dijalankan seperti biasa.
“Hanya 10 peratus dibenarkan bercuti manakala selebihnya perlu bertugas seperti biasa kerana kita perlu ramai anggota di lapangan.
“Ia bagi menjaga keselamatan dan kepentingan harta benda awam kerana pada musim cuti perayaan tambahan pula, ramai yang meninggalkan rumah masing-masing untuk pulang ke kampung.
“Kita juga ingin mengingatkan dan menasihatkan masyarakat agar maklumkan di balai polis berhampiran ketika pulang ke kampung supaya pemantauan dapat di buat di kawasan perumahan berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette