Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendedahkan menerima lebih 500 aduan berhubung penipuan program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).

Menurut Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, kegiatan penipuan itu dilakukan oleh segelintir ejen tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan daripada majikan dan warga asing.

Katanya, sindiket tersebut mengaut keuntungan besar sehingga menyebabkan mangsa kerugian ratusan ribu ringgit.

“Program Rekalibrasi Tenaga Kerja pada asalnya adalah inisiatif baik oleh kerajaan untuk membantu warga asing yang tidak mempunyai permit kerja yang sah, khususnya dalam sektor 3D (Dangerous, Difficult, and Dirty).

“Malangnya, ejen-ejen tertentu telah menyalahgunakan program ini dengan menipu, menggelapkan wang pendaftaran dan caj-caj lain yang sepatutnya dibayar kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). Ini menyebabkan kerajaan rugi kerana wang levi itu dikaut sindiket atau kartel-kartel ini.

“Ini sekaligus menjejaskan imej negara dalam isu pemerdagangan orang. Bayangkan bayaran dikenakan untuk setiap permohonan program RTK 2.0 ini antara RM7,000 hingga RM12,000, sekiranya satu sindiket berjaya memperdaya 1,000 majikan dan warga asing, bayangkan jumlah keuntungan atas angin ini,” katanya.

Tambah Hishamuddin, tindakan sindiket dan kartel itu memberi kesan negatif kepada kedua-dua pihak, majikan berisiko menggaji pekerja asing tanpa permit kerja sah dan pekerja asing bekerja secara haram tanpa permit kerja yang sah yang boleh membawa kepada tindakan undang-undang terhadap mereka.

“Kita menggesa pihak berkuasamembuka kertas siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap ejen-ejen yang terlibat di bawah Seksyen 420 (Penipuan), Seksyen 403 (Penggelapan Harta Secara Tidak Jujur), dan Seksyen 409 (Pecah Amanah Jenayah).

“Semua majikan dan pekerja asing yang telah menjadi mangsa penipuan ini untuk tampil dan menghubungi kami agar tindakan undang-undang dapat diambil terhadap ejen-ejen yang telah mencemarkan program ini.

“Harapnya keadilan dapat ditegakkan untuk mangsa-mangsa yang terlibat dan supaya program ini dapat dipulihkan semula untuk kebaikan semua,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hishamuddin juga berharap pihak berkuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak meminggirkan laporan polis yang menjadi mangsa penipuan sindiket sedemikian.

“Walaupun sudah beratus-ratus aduan dan laporan namun sebahagian besar kes ini masih tidak ada apa-apa, tiada sesiapa pun yang disiasat dan didakwa di mahkamah yang menyebabkan kartel ini terus kebal melakukan apa sahaja,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here