KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Besut, Terengganu menolak tuntutan seorang lelaki yang mendakwa sebagai pentadbir harta pusaka bapanya bag mendapatkan wang hasil jualan hartanah berjumlah RM590,000,.
Sebaliknya mahkamah mengesahkan bayaran sebanyak RM590,000 itu adalah hak milik defendan, Datuk Mohamad Azlan Abdullah atau lebih dikenali sebagai Azlan Al Amin, seorang ahli perniagaan hartanah terkenal.
Hakim Mahkamah Sesyen Besut, Ahmad Fadhli Mahmud membuat keputusan itu selepas perbicaraan selama lima hari yang melibatkan lima saksi.
Dalam penghakimannya, kata Ahmad Fadhli, plaintif tidak mempunyai sebarang asas undang-undang untuk menuntut wang hasil jualan itu kerana dalam surat pentadbir harta pusaka tiada sebarang penyataan wang tanah RM590,000 itu adalah sebahagian daripada harta pusaka si mati.
“Dalam transaksi itu, plaintif tidak terlibat, malah wang jualan telah diserahkan kepada defendan atas arahan si mati sendiri sebagai pertukaran jualan hartanah antara defendan dan si mati semasa hayatnya, disokong dengan surat akuan mengesahkan beliau tidak akan membuat tuntutan terhadap wang tersebut.
“Mahkamah dengan ini menolak permohonan plaintif Shahruldi Mahafiz Ramli dan mengarahkan beliau membayar kos sebanyak RM15,000 kepada defendan,” katanya.
Dalam pada itu, kata peguam mewakili Azlan, Fahmi Adilah dari Tetuan Zahid Ahmad & Associates, keputusan mahkamah itu bukan sahaja membuktikan kesahihan urusan jual beli hartanah tersebut malah membersihkan nama baik anak guamnya yang sebelum ini tercemar akibat pelbagai tuduhan tidak berasas.
Menurut Fahmi, sejak isu ini timbul beberapa tahun lalu, plaintif telah menuduh anak guamnya sebagai seorang penipu yang menyeleweng wang hasil jualan hartanah arwah bapanya sehingga menyebabkan reputasi sebagai ahli perniagaan terjejas teruk.
“Lagi teruk bila isu ini disebarkan dalam media sosial dengan pelbagai fitnah ditabur terhadap anak guam saya yang sudah meningkat naik dalam bisnes hartanah ketika itu.
“Untuk makluman, si mati juga tidak pernah membangkitkan sebarang isu atau membuat tuntutan berhubung transaksi tersebut. Mahkamah mengambil kira semua bukti, termasuk surat akuan si mati mengesahkan wang hasil jualan tersebut memang diserahkan kepada anak guam saya atas persetujuan bersama.
“Anak guam saya sangat gembira dengan keputusan yang telah menamatkan pertikaian undang-undang selain mengesahkan beliau berhak sepenuhnya ke atas wang hasil jualan hartanah berkenaan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Untuk makluman juga, Mohamad Azlan bangkit daripada kemiskinan bermodalkan RM1.30 sahaja pada tahun 2010.
Beliau yang dulunya hanya bekerja sebagai pengutip sampah melahirkan rasa syukur dengan kejayaannya bergelar hartawan dan jutawan hartanah berjaya. -MalaysiaGazette