JOHOR BAHRU – Seorang peniaga kedai makan di Jalan Ulam Raja 1, Kampung Maju Jaya di sini mencari peti ais, meja makan, kerusi dan barang-barang yang dihanyutkan banjir sejauh kira-kira satu kilometer dari tempatnya berniaga selepas bah surut.
Norhayati Ismail, 47, yang menjual nasi ayam dan masakan panas bersebelahan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Maju Jaya berkata, peralatan dan barang-barang dalam kedainya tidak dapat diselamatkan kerana pintu kedai roller shutter bahagian depan sudah rosak.
“Ini membuatkan banyak barang dalam kedai termasuk peti ais dan kerusi terapung dan dihanyutkan banjir walaupun ada barang-barang yang sudah diletakkan di tempat yang tinggi.
“Saya mencari peti ais dan barang dalam kedai sehingga ke kawasan lampu isyarat iaitu kira-kira satu kilometer dari kedai tetapi tidak menemui apa-apa.
“Banjir naik sehingga ke paras dada. Banyak barang yang tidak dapat diselamatkan. Kerugian lebih puluh ribu ringgit. Banyak peniaga mengalami nasib yang sama, barang-barang mereka musnah selepas tenggelam dalam banjir,” katanya ketila ditemui hari ini.
Dia yang sudah tujuh tahun berniaga di jalan berkenaan berkata, banjir kali ini adalah paling teruk dan naik sehingga paras bumbung di rumah-rumah dalam kampung tersebut selepas hujan lebih 24 jam.
“Hujan lebat 9 pagi Rabu lalu mengakibatkan air mula naik paras buku lali dan pukul 11 pagi air sudah naik sehingga paha kemudian pada pukul 1 petang sudah sampai paras dada.
“Keadaan ini membuatkan mangsa banjir di kampung ini keluar rumah dalam keadaan sehelai sepinggang. Banjir kali ini di luar kangkaan,” ujar ibu kepada tiga anak itu yang masih trauma dengan kejadian banjir.
Dia berharap, kerajaan dapat memberi bantuan kepada peniaga dan penduduk kampung berkenaan untuk membina semula kehidupan yang sudah musnah akibat banjir.
Katanya, banjir tersebut menjejaskan sumber pendapatan peniaga yang mencari rezeki di kiri dan kanan jalan itu termasuk mereka yang berniaga di bazar Ramadan berhampiran.
Banjir pada minggu lalu itu mengakibatkan kira-kira 80 peratus daripada lebih 3,000 penduduk terjejas termasuk Sekolah Kebangsan (SK) Kampung Maju Jaya dan Sekolah Agama (SA) Kampung Maju Jaya tidak beroperasi.
Keadaan itu juga menyebabkan jambatan masuk ke kampung berkenaan ditenggelami air dan penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) melalui laluan Sungai Tebrau.- MalaysiaGazette