JOHOR BAHRU – Banjir di Johor berunsur pulih apabila tidak sampai 1,000 orang ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih aktif setakat pukul 2 petang tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, hanya tinggal dua daerah sahaja yang masih terkesan banjir di negeri ini iaitu Batu Pahat dan Pontian.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor itu berkata, tiga daerah lain membabitkan Johor Bahru, Kluang dan Kota Tinggi telah pulih sepenuhnya apabila 10 PPS di daerah tersebut ditutup hari ini.
“Sehingga 2 petang ini, jumlah mangsa banjir yang direkodkan adalah seramai 918 penduduk daripada 276 keluarga di 10 PPS.
“Daripada jumlah itu, 619 penduduk daripada 192 keluarga di lima PPS berada di Batu Pahat dan selebihnya berada di daerah Pontian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azmi berkata, seramai 680 penduduk daripada 152 keluarga di Johor Bahru telah pulang ke rumah masing-masing setelah lima PPS di daerah itu ditutup hari ini.
Katanya, seramai 74 penduduk daripada 27 keluarga yang ditempatkan di dua PPS di Kluang juga telah pulang ke kediaman masing-masing.
“Di Kota Tinggi, 68 penduduk daripada 21 keluarga sudah pulang ke rumah masing-masing setelah dua PPS di daerah itu ditutup hari ini,” ujarnya.
Katanya, data Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tidak mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat berterusan di mana-mana kawasan di negeri ini.
“Bagi paras sungai di Johor pula, hanau Sungai Senggarang di Batu Pahat dan Sungai Ayer Hitam di Pontian berada di paras amaran,” ujarnya.- MalaysiaGazette